Penilaian kerintangan pokok betik Eksotika transgenik terhadap penyakit mati rosot di lapangan terkawal
Rogayah Sekeli, Nazrul Hisham Nazaruddin, Amin Asyraf Tamizi, Nora’ini Abdullah, Noriha Mat Amin, Wee Chien Yeong, Mohd Azhar Hassan dan Johari Sarip
Ringkasan
Malaysia adalah antara pengeluar dan pengeksport utama betik (Carica papaya L.) di dunia sebelum penguncupan industri betik negara akibat penyakit mati rosot betik. Erwinia mallotivora telah dikenal pasti sebagai patogen yang menyebabkan penyakit ini dan untuk memacu semula pertumbuhan industri betik, kaedah konvensional dan kejuruteraan genetik telah dikaji untuk membangunkan varieti betik yang dipertingkatkan kerintangan terhadap E. mallotivora. Kejuruteraan genetik sebagai pendekatan alternatif telah dipelopori berdasarkan analisis omik yang ekstensif termasuk genomik berfungsi, proteomik dan bioinformatik. Melalui pemahaman sistem komunikasi bakteria dalam memantau kepadatan populasi atau dikenali sebagai penderiaan kuorum, gen antipatogen yang mengekspresikan protein lactonase yang secara khusus menyasarkan acylated homoserine lactones (AHLs) keluaran E. mallotivora untuk berkomunikasi telah dipencil, diciri dan ditransformasikan ke dalam betik tempatan, Eksotika. Berdasarkan kajian lapangan tertutup betik transgenik yang mengekspresikan gen AHL-lactonase, beberapa titisan transgenik berpotensi telah menunjukkan peningkatan ketahanan terhadap patogen bakteria melalui inokulasi artifisial pada kepekatan 2.5 x 109 CFU/mL. Titisan transgenik yang berpotensi telah dimultiplikasi dengan pembiakan secara kultur tisu. Selepas itu, titisan transgenik yang berpotensi telah dijalankan penilaian selanjutnya di lapangan terkawal dan titisan yang paling berpotensi terhadap bakteria patogen dikenal pasti iaitu titisan CHB-L2 yang dapat mengawal penyebaran penyakit selepas 44 hari inokulasi artifisial dijalankan, berbanding pokokdengan pokok kawalan yang telah mati ataupun terbantut. Kedua-dua kajian lapangan tertutup dan terkawal menunjukkan bahawa transformasi betik Eksotika transgenik dengan gen AHL-lactonase telah berjaya meningkatkan daya tahan betik transgenik terhadap penyakit mati rosot betik.