Aplikasi pengesanan pantas racun ditiokarbamat di lapangan menggunakan peranti mudah alih biosensor dengan integrasi Internet Pelbagai Benda
Nurul Hidayah Ahmad Puat, Nur Azura Mohd Said, Mohammad Shahid Shahrun, Erna Mutiara Masdek, Nor Ashikin Basirun, Nor Azhar Alias dan Hidayatul Wahidah Sobri
Ringkasan
Hasil kajian lapangan mendapati bahawa peranti mudah alih MARDI-IoT biosensor dapat mengesan zineb, maneb, mancozeb dan thiram dalam sampel salad atau tomato dalam masa 15 minit (termasuk penyediaan dan pengukuran sampel) yang diukur secara elektrokimia menggunakan teknik chronoamperometry (CA) pada potensi -0.2 V selama 200 saat. Kepekatan ditiokarbamat yang dikesan [(bahagian per juta (ppm)] akan dipaparkan pada skrin peranti biosensor. Hasil kajian pemulihan mendapati 68 – 114% pemulihan diperoleh untuk ditiokarbamat dan menepati piawaian peratusan pemulihan yang ditetapkan oleh Had Residu Makanan Suruhanjaya Eropah. Kajian pengesahan sampel salad dan tomato dari pasar tani pagi menggunakan kaedah biosensor berasaskan enzim dan kaedah kromatografi gas dengan pengesan tangkapan elektron (GC-ECD) memperoleh peratusan korelasi sebanyak 87.5% manakala peratusan korelasi untuk sampel tomato dari lokasi lain (pasar raya, borong pasar, pusat membeli-belah dan gerai jualan) ialah 37.5%. Selain itu, peratusan korelasi bagi sampel salad dari lokasi lain yang sama dengan sampel tomato ialah 87.5%. Perbezaan dalam peratusan korelasi mungkin disebabkan oleh kaedah pengekstrakan yang berbeza untuk kedua-dua jenis sayuran yang memerlukan penambahbaikan pada masa hadapan.