Kajian spesifisiti antibodi terhadap penanda hormon tumbuhan untuk kajian ketulenan madu kelulut

Category: Bil.32

Hazana Razali, Nur Azura Mohd Said, Noor Sheryna Jusoh, Mohd Shahrin Ghazali, Faridah Salam, Norhafniza Awaludin, Mohammad Rejab Ismail dan Rosliza Jajuli

Ringkasan
Madu adalah produk semula jadi daripada nektar bunga dan dihasilkan oleh lebah kelulut dan lebah Apis. Madu kelulut sangat terkenal kerana kemanisannya yang tersendiri, bercampur dengan rasanya yang berasid dan tekstur cecairnya membuatkan ia mempunyai nilai tambah yang lebih tinggi berbanding dengan madu lebah Apis. Selain itu, madu kelulut mempunyai banyak khasiat yang penting untuk kesihatan. Isu pemalsuan madu kelulut semakin mendapat perhatian berikutan permintaan yang tinggi di pasaran. Sesetengah pengeluar madu mencampurkan madu kelulut asli dengan gula tambahan, bahan kimia dan air secara langsung atau tidak langsung. Justeru, satu kaedah ataupun alat bagi pengesanan ketulenan madu kelulut telah dibangunkan bagi menangani isu ini. Asid absisik (ABA) digunakan sebagai penanda hormon tumbuhan dalam pembangunan sensor. Antibodi poliklonal terhadap ABA telah dibangunkan secara dalaman dan digunakan sebagai bioreseptor pada platform sensor. Platform sensor telah diubah suai dengan polianilin (PANi) dan emas nano koloid untuk meningkatkan isyarat dan sensitiviti sensor tersebut. Graf piawai telah dibangunkan antara 0 hingga 7 bahagian per juta (ppm) dalam larutan penimbal dan matriks madu masing-masing dengan R2 = 0.944 dan R2 = 0.9515. Sensitiviti dan kepekaan imunosensor yang dibangunkan telah diuji melalui tindak balas silang dengan sebatian kimia lain yang terdapat dalam madu kelulut seperti glukosa, fruktosa, hesperidin, asid ferulik, asid kafeik dan lainlain. Sensor yang dibangunkan sangat spesifik untuk mengesan ABA yang menunjukkan tindak balas silang yang rendah dengan bahan kimia yang lain. Sampel-sampel madu kelulut, madu lebah dan madu tualang telah dianalisis sifat elektrokimianya menggunakan imunosensor yang dibangunkan. Parameter lain untuk madu-madu tersebut juga diukur seperti pH, warna dan rasa. Perbandingan juga dibuat menggunakan madu palsu yang dikenal pasti oleh Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Makanan (tiada kehadiran asid absisik menggunakan HPLC-MS) untuk menentukan korelasi antara kedudukan puncak dan arus puncak yang diukur. Selain itu, madu kelulut yang dicampur dengan adulteran seperti sirap glukosa, sirap jagung fruktosa tinggi (HFCS), air suling dan asid asetik juga dikaji. Kajian menunjukkan arus puncak bagi sampel yang telah dicampur dengan adulteran menunjukkan penambahan atau pengurangan daripada julat arus puncak madu kelulut asli.

Teks penuh (830KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.