Kawalan perosak invasif asing koya betik Paracoccus marginatus menggunakan kaedah mesra alam

Category: Bil. 33

Mohd Masri Saranum, Mohd Yusri Zainudin, Mohd Shahhizal Abdul Wahid, Nurin Izzati Mohd Zulkifli, Siti Noor Aishikin Abdul Hamid, Azman Rajab, Mohd Fahimee Jaapar, Haryati Mansor dan Sivapragasam Annamalai

Ringkasan
Koya betik atau nama saintifiknya Paracoccus marginatus merupakan spesies asing invasif baharu yang telah menyerang tanaman betik di Malaysia. Perosak ini dilaporkan memasuki dan menyerang tanaman betik di Malaysia pada tahun 2010. Perosak ini telah menyebabkan kerosakan dan juga kerugian yang besar kepada petani sekiranya tidak dikawal. Hasil pencerapan dan pensampelan pada tanaman betik di ladang organik MARDI Serdang mendapati terdapat kesan serangan yang teruk pada tanaman betik di ladang organik terutamanya pada buah betik. Hampir kesemua buah betik pada pokok didapati telah diserang oleh perosak koya P. marginatus dan juga sedikit oleh teritip A. orientalis. Kesan kerosakan yang disebabkan perosak ini adalah tumbesaran pokok dan buah menjadi terencat serta pembentukan buah yang tidak sempurna. Selain itu, manisan yang dirembeskan oleh koya dan teritip mudah ditumbuhi oleh kulat jelaga hitam yang seterusnya menutup stoma dan menghalang fotosintesis yang menyebabkan buah menjadi kurang berkualiti. Manisan yang dihasilkan juga menarik semut untuk mengambil manisan dan seterusnya menjadi pelindung kepada perosak. Walaupun terdapat beberapa musuh semula jadi kepada perosak koya dan teritip, namun musuh semula jadi ini tidak mampu mengawal jumlah populasi perosak yang besar. Kaedah mekanikal iaitu menggunakan semburan air bertekanan tinggi dan memberus daun serta permukaan buah untuk menyingkirkan perosak daripada tanaman betik telah dilakukan untuk mengurangkan populasi perosak yang tidak terkawal dengan pantas. Setelah itu, semburan dengan minyak mineral dilakukan ke atas tanaman betik mengikut sukatan yang telah diberikan untuk memastikan nimfa atau crawler yang tidak dapat dilihat turut mati. Kaedah konservasi musuh semula jadi dilaksanakan dengan membiarkan sedikit populasi perosak pada tanaman betik sebagai sumber makanan dan generasi musuh semula jadi seterusnya. Terdapat dua pemangsa yang ditemui di lapangan iaitu Cryptolaemus montrouzeri dan Chilochorus sp. manakala satu parasitoid daripada famili Braconidae telah ditemui memparasitkan koya P. marginatus. Populasi perosak didapati telah turun dengan ketara selepas tiga kali rawatan pada tanaman betik. Seterusnya populasi perosak didapati adalah rendah dan stabil selepas pensampelan dan cerapan dilakukan selama 24 minggu.

Teks penuh (3.58MB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.