Streptomyces: Agen kawalan biologi berpotensi bagi kawalan penyakit layu fusarium pisang
Azlan Azizi Muhamad Nor, Jeffrey Lim Seng Heng, Ahmad Arif Ismail, Nur Sulastri Jaffar dan Rozeita Laboh
Ringkasan
Saringan di rumah kalis serangga terhadap strain Streptomyces terpilih menunjukkan anak pokok pisang yang diinokulasikan dengan Fusarium oxysporum cubense (FOC) mati selepas tujuh hari inokulasi dijalankan. Manakala, pokok pisang yang diinokulasikan dengan FOC yang kemudiannya dirawat semula dengan Streptomyces pulih dan hidup sepanjang kajian. Bagi meningkatkan jangka hayat dan keberkesanan mikroorganisma bermanfaat yang digunakan, pengkapsulan sel Streptomyces telah diformulasikan ke dalam granul kalsium alginate. Formulasi dalam bentuk granul kering ini memudahkan penyimpanan dan pengaplikasian apabila diperlukan. Penilaian awal di ladang MARDI Kluang, Johor mendapati beberapa strain Streptomyces menunjukkan potensi terhadap FOC dengan kadar kelangsungan hidup tanaman pisang daripada 70% sehingga 96% manakala kawalan menunjukkan peratusan kelangsungan hidup terendah (63%). Streptomyces ini kemudiannya dinilai semula di lapangan untuk mengenal pasti konsortium Streptomyces yang paling berpotensi dan kadar berkesan yang diperlukan untuk tanaman pisang. Penilaian di ladang MARDI Jerangau, Terengganu mendapati konsortium A yang terdiri daripada kombinasi Streptomyces S12 dan Streptomyces S5 pada kadar 20 g mampu mengurangkan jangkitan FOC pada tanaman pisang. Bacaan SPAD tertinggi dan signifikan menunjukkan tahap klorofil yang tertinggi secara tidak langsung mempamerkan keadaan daun yang sihat dengan kesan klorosis daun paling rendah akibat daripada serangan penyakit layu fusarium. Pendekatan mesra alam ini dipercayai mempunyai potensi besar sebagai agen kawalan biologi yang mampu untuk mengawal penyakit layu fusarium pisang pada masa akan datang.