Kajian kitaran hayat ulat kepala kubis (Crocidolomia binotalis)
Mohd Masri Saranum dan Wee Suk Ling
Ringkasan
Ulat kepala kubis (CHC) atau nama saintifiknya Crocidolomia binotalis [Zeller.] (Lepidoptera: Pyralidae) telah diketahui sebagai salah satu perosak utama terutamanya dalam tanaman Brassica. C. binotalis mengalami perkembangan holometabolous yang menjalani metamorfosis lengkap, termasuk peringkat pupa atau rehat antara larva dan bentuk dewasa. Kekurangan kajian tentang perosak telah menghalang program kawalan C. binotalis di Malaysia. Petani telah menggunakan racun serangga kimia untuk mengawal C. binotalis, namun penggunaan racun serangga kimia yang berpanjangan telah menyebabkan kerintangan terhadap serangga perosak dan memudaratkan manusia serta alam sekitar. Untuk memastikan program kawalan C. binotalis ini berkesan, adalah dicadangkan supaya kajian asas seperti kitaran hayat perosak dikaji. Kitaran hayat C. binotalis ini telah dikaji di makmal pada 26 ± 2 ºC dan RH 50 – 70%.