Kandungan serat diet daripada serbuk biji dan isi ceri Terengganu

Category: Bil. 34

Sabeetha Sarmin, Tun Norbrillinda Mokhtar, Hadijah Hassan dan Mohd Firdaus Saudi

Ringkasan
Ceri Terengganu (Lepisanthes fructicosa) merupakan antara buah nadir dan dikenali sebagai spesies tidak bermusim di Malaysia yang menghasilkan buah sepanjang tahun. Pada masa ini, banyak kajian telah dilakukan berkaitan ciri pemakanan dan fizikokimia terhadap isi, kulit dan biji. Melalui kajian ini, data berkaitan serat diet di dalam serbuk isi dan kulit serta serbuk biji ceri Terengganu dapat dianalisis. Sampel dituai dari plot kajian di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang, Selangor. Sampel dibersihkan dengan membuang kotoran dan bahagian yang rosak, dikeringkan dan diasingkan isi dan biji. Kemudian, sampel dikeringkan di dalam alat pengering pada suhu 60 °C. Sampel yang telah kering kemudiannya dikisar menjadi serbuk. Jumlah kandungan serat diet (TDF), serat larut (SDF) dan serat tidak larut (IDF) telah dianalisis menggunakan kit ujian enzim gravimetrik Megazyme. Daripada analisis yang dijalankan, kandungan lembapan serbuk biji ceri ialah 8.42% manakala serbuk isi dan kulit ceri ialah 9.43%. Nilai TDF serbuk biji ceri ialah 75.4 – 83.4%, SDF serbuk biji ceri antara 3.8 – 5.4% dan kandungan IDF ialah 58.7 – 73.8%. Walau bagaimanapun, untuk serbuk isi dan kulit ceri, nilai TDF didapati ialah 77.9 – 87.2%, SDF ialah 17.9 – 23.9% dan nilai IDF daripada 48.9 – 60.2%. Tiada perbezaan yang signifikan ditemui antara kedua jenis serbuk kecuali bagi nilai SDF. Serbuk biji ceri dan serbuk isi dan kulit ceri didapati mempunyai nilai TDF yang tinggi dan kandungan IDF adalah lebih tinggi berbanding dengan nilai kandungan SDF. Data daripada kajian ini boleh dimanfaatkan sebagai rujukan untuk kajian pada masa hadapan terutama untuk pembangunan makanan berfungsi dan juga sumber bahan makanan semula jadi daripada sumber tempatan.

Teks penuh (211KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.