Penghasilan rockmelon yang toleran terhadap kemasinan melalui teknik cantuman untuk meningkatkan kualiti buah dengan aplikasi garam (NaCl)
Muhamad Hafiz Muhamad Hassan, Muhamad Hazim Nazli, Yahya Awang dan Juju Nakasha Jaafar
Ringkasan
Pengeluaran rockmelon di Malaysia adalah untuk peningkatan kualiti buah yang optimum. Kebiasannya, penggunaan baja fertigasi akan dipertingkatkan bagi memenuhi matlamat peningkatan kualiti pada tanaman rockmelon, sebagai contoh, pengeluaran rockmelon di Malaysia seperti varieti Glamour adalah bergantung semata-mata kepada aplikasi baja fertigasi. Ini akan mengakibatkan peningkatan kos yang tinggi serta menyumbang ke arah pembaziran nutrien. Justeru, aplikasi siraman air
garam dalam penanaman rockmelon merupakan pendekatan yang relevan untuk meningkatkan kualiti buah. Walau bagaimanapun, aplikasi kemasinan ini perlu disertai dengan penggunaan pokok penanti Cucurbit yang tahan kemasinan seperti labu air melalui cantuman. Hasil cantuman pokok rockmelon dengan pokok penanti labu air berupaya untuk meningkatkan tahap toleransi atau bertahan dengan kemasinan yang digunakan untuk meningkatkan kualiti buah tanpa menurunkan hasil dan proses fisiologi. Melalui gabungan kaedah atau pakej ini, parameter utama kualiti buah rockmelon meliputi aspek kandungan larut pepejal, nisbah gula dan asid serta kepejalan buah dapat dipertingkatkan. Ini menjadikan, buah rockmelon yang dihasilkan adalah bersifat premium melalui rasa yang manis, seimbang komposisi gula dan asidnya serta memiliki isi yang rangup. Kesimpulannya, penggunaan teknik cantuman pokok rockmelon dengan labu air dan aplikasi garam yang disekalikan bersama baja asas adalah mudah untuk diikuti oleh para pengusaha, memiliki kadar kejayaan yang tinggi (90%), berkos rendah (kos input garam pada kuantiti yang sedikit sepokok), serta mudah diperoleh. Manakala, penggunaan pokok cantuman rockmelon/labu air menghasilkan pokok yang tahan kemasinan, memiliki kualiti buah yang tinggi apabila diaplikasikan bersama penambahan garam serta memiliki jangka hayat yang lebih panjang berbanding dengan pokok rockmelon yang tidak dicantum. Menerusi tatacara pakej teknologi yang dinyatakan dalam artikel ini, pengoptimuman kualiti buah rockmelon ke arah penghasilan produk yang premium dapat dihasilkan.