Penentuan tenaga metabolisme (ME) dalam rangsum lengkap bagi kambing pejantan Boer
Nik Siti Mariani W Hamat, Marini Ahmad Marzuki dan Wan Zahari Mohamed
Ringkasan
Satu kajian pendek untuk menilai tenaga metabolisme (ME) menggunakan kaedah in vivo telah dijalankan di MARDI Jeram Pasu, Pasir Puteh, Kelantan. Dalam kajian ini rangsum lengkap kambing iaitu campuran konsentrat komersial (pelet) dan rumput Brachiaria dictyoneura berumur enam minggu telah digunakan. Sebanyak tiga ekor kambing pejantan Boer (umur dua tahun) telah dipilih secara rawak dalam kajian ini dengan purata berat badan awal 31.67 ± 0.60 kg. Jumlah makanan harian diberi adalah berasaskan 3% daripada berat badan purata. Kambing tersebut diletakkan di dalam kandang metabolik individu di mana tinja dan air kencingnya dikumpulkan secara berasingan selama lima hari dan diambil sampel untuk analisis proksimat. Purata ME bagi rangsum yang diperoleh ialah 7.7 MJ/kg DM dan tidak mencukupi (kurang 15%) untuk kambing pejantan Boer yang memerlukan sebanyak 9.06 MJ/kg DM. Penambahan minyak kelapa sawit atau molases pada makanan tersebut adalah disyorkan untuk meningkatkan kandungan tenaga bagi memenuhi keperluan kambing pejantan Boer