Colletotrichum spp. penyebab penyakit antraknos pada tanaman bawang merah di Malaysia

Category: Bil. 36

Suhanna Ahmad, Md Nurul Khalid Koyube, Mohammad Sollehuddin Abdul Rashid, Rozeita Laboh, Nor Hazlina Mat Sa’at dan Zulhazmi Sayuti

Ringkasan
Bawang (Allium cepa L.) adalah tanaman sayur-sayuran rempah yang digunakan secara meluas dalam masakan di Malaysia. Oleh kerana tiada penanaman bawang merah yang komersial di Malaysia, kebanyakan bawang merah diimport dari negara lain seperti India, Pakistan, China, Belanda dan Thailand. Bagi mengurangkan kebergantungan bekalan bawang merah negara kepada import, pembangunan teknologi pengeluaran bawang merah ke arah industri yang berdaya saing dan mampan telah dilaksanakan oleh MARDI. Walau bagaimanapun, tanaman bawang merah juga tidak terkecuali daripada serangan penyakit yang disebabkan oleh kulat, bakteria, virus dan nematod. Penyakit antraknos yang disebabkan oleh kulat Colletotrichum spp. telah dikesan dari kawasan kajian penanaman bawang merah di MARDI Bachok, Kelantan dan dikenal pasti secara morfologi dan disahkan melalui uji kaji Koch’s Postulate. Di negara-negara lain, penyakit antraknos ini merupakan salah satu masalah utama dalam pengeluaran bawang, terutamanya di kawasan lembap dan membawa kepada kerugian hasil. Oleh itu, penyakit ini perlu diambil perhatian yang serius sebelum memulakan penanaman bawang merah secara besar-besaran di Malaysia. Gejala awal penyakit antraknos yang dapat dilihat adalah terdapat bintik putih pada daun bawang dan kemudiannya bintik putih itu membesar menjadi warna coklat gelap. Kelihatan acervuli berbentuk seperti cincin dengan konidia berwarna oren di kawasan nekrosis. Bilah daun akan patah dan terkulai, menyebabkan pokok bawang mati. Simptom daun berpintal juga adalah salah satu petanda tanaman bawang diserang penyakit antraknos. Pengenalpastian dan pengesahan kulat Colletotrichum spp. sebagai agen penyebab penyakit antraknos memberi kita pengetahuan yang sangat penting untuk merangka strategi pengurusan penyakit bagi meminimumkan kehilangan pengeluaran bawang merah di Malaysia. Uji kaji racun kulat yang dibuat secara in vitro menunjukkan tiga bahan aktif iaitu propiconazole, benomil dan tebuconazole dapat merencatkan pertumbuhan kulat Colletotrichum spp. ini. Kajian pengurusan perosak secara bersepadu (IPM) tanaman bawang merah sedang dijalankan di MARDI melalui penggunaan langkah-langkah kawalan melibatkan elemen kultur, biologi dan kimia yang diharapkan akan memberi manfaat kepada komuniti pertanian serta ekonomi negara bagi menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan selamat dimakan.

Teks penuh (2.26MB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.