Kualiti dan kandungan nutrien silaj jagung bijian pada tempoh pemotongan yang berbeza
Siti Syamsiah Ismail, Raziyah Abdullah dan Baharin Sukiman
Ringkasan
Kajian ini dijalankan bagi mendapatkan maklumat silaj pokok jagung bijian yang dituai bersama tongkol jagungnya pada peringkat umur yang berbeza dan tempoh fermentasi yang berbeza. Penilaian kualiti pH dan analisis proksimat dijalankan ke atas silaj pokok jagung bijian yang dipotong pada hari ke-80, 90 dan 110 selepas penanaman. Hasil kajian menunjukkan kualiti
silaj pada waktu fermentasi 21, 28 dan 35 hari berada pada julat pH baik, iaitu dari 3.92 – 3.99, 3.86 – 3.96 dan 3.93 – 3.98 bagi ketiga-tiga peringkat umur pemotongan yang berbeza. Manakala bagi keputusan analisis proksimat pula tempoh pemotongan hari ke-110 mencatatkan bacaan peratus bahan kering yang tertinggi diikuti dengan hari ke-90 dan 80 iaitu 51.76%, 30.74% dan 25.55%. Silaj bagi pemotongan pada hari ke-80 telah memberikan bacaan peratus protein kasar yang tertinggi secara signifikan diikuti hari ke-90 dan 110 iaitu masing-masing sebanyak 8.10%, 7.53% dan 7.11%. Peratus serat kasar bagi pemotongan hari ke-110 menunjukkan peratus lebih rendah 26.78% secara signifikan (p <0.05) berbanding hari ke-80 dan 90 iaitu 31.68% dan 29.95%. Bagi peratus kandungan abu pula dipengaruhi secara ketara (p <0.05) oleh faktor tempoh pemotongan (80, 90 dan 110 hari) iaitu 5.84%, 4.53% dan 3.95%. Penilaian kandungan Neutral Detergent Fibre (NDF), Acid Detergent Fibre (ADF), Acid Detergent Lignin (ADL) dan hemiselulosa menunjukkan perbezaan signifikan (p <0.05) pada silaj pokok jagung bijian umur pemotongan hari ke-110 adalah lebih rendah iaitu 51.99%, 31.25%, 10.93% dan 20.74% berbanding dengan silaj umur pemotongan pada hari ke-80 dan 90 iaitu masing-masing 74.79%, 38.80%, 23.63% dan 35.99% dan 64.82%, 35.28%, 13.87% dan 29.55%. Kandungan selulosa silaj pokok jagung bijian umur pemotongan hari ke-80 adalah paling rendah secara signifikan (p <0.05) iaitu 15.17% berbanding hari ke-90 dan 110 iaitu 20.33% dan 21.43%. Kesimpulannya, walaupun terdapat perbezaan umur hari pemotongan pokok jagung bijian (80, 90 dan 110 hari) ia masih merupakan bahan tanaman yang baik untuk penghasilan silaj untuk ternakan. Namun terdapat perbezaan terhadap kandungan nutrien pada silaj yang dihasilkan.