Biofungisid komersial bagi mengawal patogen penyakit karat daun kopi (Hemileia vastatrix)
Amyita Witty Ugap dan Khairul Faqih Farahi Mohd
Ringkasan
Penyakit karat daun adalah merupakan penyakit utama tanaman kopi yang disebabkan oleh patogen kulat Hemileia vastatrix Berkeley & Broome. Penyakit ini berupaya menjejaskan hasil dan kualiti kopi. Oleh itu, pencegahan dan pengawalan penyakit yang berkesan sangat penting bagi memastikan industri kopi tidak terjejas. Bagi mendapatkan hasil tanaman yang optimum dan mengurangkan impak racun kimia terhadap alam sekitar, biofungisid yang berasaskan mikrob dan ekstrak tumbuhan boleh dijadikan alternatif bagi mengawal penyakit karat daun. Oleh itu, kajian ini bertujuan menilai potensi beberapa biofungisid komersial yang berasaskan mikrob dan ekstrak tumbuhan bagi mengawal penyakit karat daun kopi secara in vitro. Hasil kajian mendapati Farm Clear (berasaskan ekstrak limau) sangat berpotensi sebagai agen kawalan biologi bagi mengawal patogen penyakit karat daun kopi (Hemileia vastatrix). Biofungisid lain seperti Lipel WP (berasaskan Bacillus thuringiensis subsp. Kurstaki strain Z-52), Han Jin T-22 (berasaskan Trichoderma harzianum–T22) dan Natural Neem Oil Emulsion (berasaskan ekstrak neem) juga berpotensi mengawal pertumbuhan patogen penyakit karat daun kopi. Penggunaan biofungisid komersial dalam mengawal penyakit karat daun kopi merupakan alternatif yang lebih mampan dan selamat untuk alam sekitar dan kesihatan manusia.