Teknik pengekstrakan dan penentuan kandungan metoksiflavon dalam aksesi rizom kunyit hitam

Category: Bil. 37

Mirfat Ahmad Hasan Salahuddin, Razali Mirad, Izlamira Roslan, Rosalizan Md Saleh, Muhammad Faris Mohd Radzi dan Zulkefli Abd Rahman

Ringkasan
Kaempferia parviflora Wallich. ex Baker. atau dikenali sebagai kunyit hitam, ialah herba ubatan yang popular dalam keluarga Zingiberaceae. Spesies ini berasal dari Thailand, dan boleh juga ditemui di Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara yang lain. Beberapa kajian farmakologi telah mendedahkan pelbagai manfaat kesihatannya termasuk sebagai antioksidan, antimikrob, antiradang, antialahan (alergi), antikanser, antiobesiti, perangsang seks, dan agen pelindung saraf dan jantung. Penilaian aksesi berbeza kunyit hitam adalah penting sebagai langkah awal untuk mengenal pasti bahan tanaman terbaik dengan kualiti dan potensi yang tinggi. Oleh itu, kajian ini telah dijalankan untuk menilai 12 aksesi kunyit hitam (LAO, LAO-1, LAO-2, THA-1, THA-2, THA-4, THA-5, THA-10, BKK, DN, MJ dan VIET- 1) yang diperoleh dari pelbagai lokasi yang ditanam di janaplasma herba di MARDI Jerangau, Terengganu. Rizom kunyit hitam telah dikeringkan menggunakan ketuhar pada suhu 60 °C sebelum pengekstrakan dengan 70% metanol menggunakan kaedah pengekstrakan berbantukan-sonikasi. Analisis kromatografi cecair berprestasi tinggi (HPLC) menunjukkan bahawa kesemua aksesi yang diuji mengandungi 4,5,7-trimetoksiflavon (TMF) iaitu salah satu sebatian metoksiflavon utama dalam kunyit hitam. Julat kandungan sebatian ialah 3.17 – 42.95 ?g/mg, dengan aksesi THA-10 yang tertinggi. Secara kesimpulannya, kajian ini mencadangkan THA-10 sebagai aksesi elit kunyit hitam yang berpotensi tinggi yang boleh diteroka untuk pelbagai aktiviti biologi pada masa hadapan. Aksesi yang terpilih ini juga boleh dipromosikan sebagai sumber bahan tanaman terbaik untuk tujuan pembiakan, pemuliharaan dan komersial.

Teks penuh(1.85MB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.