Penentuan aktiviti antimikrob bagi beberapa aksesi kesum terpilih

Category: Bil. 37

Mohd Effendi Mohamed Nor, Ainon Dzahirah Zulkafli, Mirfat Ahmad Hasan Salahuddin, Muhammad Faidhi Towhid, Muhammad Faris Mohd Radzi dan Ahmad Syahman Mohd Dalee

Ringkasan
Kesum atau nama saintifiknya Persicaria minor ialah herba yang sinonim sebagai bahan masakan kerana memberi rasa dan aroma. Selain digunakan dalam masakan, kesum juga digunakan dalam perubatan tradisional kerana bersifat antioksida, antimikrob, antiulser, antiinflamatori dan antitoksisiti. Kajian aktiviti antimikrob kesum telah banyak dilaporkan, tetapi maklumat
tentang aktiviti antimikrob aksesi-aksesi kesum masih terhad. Objektif kajian ini adalah menentu dan menyaring aktiviti antimikrob enam aksesi kesum (MKSM002, MKSM004, MKSM006, MKSM011, MKSM013 dan MKSM020) yang diperoleh dan dikumpul dari pelbagai lokaliti di Selangor. Aktiviti antimikrob ekstrak aksesi kesum ini ditentukan melalui kaedah resapan cakera terhadap lima patogen iaitu Bacillus cereus ATCC 10876, Cronobacter sakazakii ATCC 29544, Enterobacter aerugenes ATCC 13048, Listeria innocua ATCC 33090 dan Staphylococcus aureus ATCC 25923. Hasil kajian menunjukkan setiap aksesi mempamerkan aktiviti antimikrob yang baik dan berpotensi. Aktiviti antimikrob paling tinggi ditunjukkan oleh ekstrak aksesi MKSM002, MKSM004 dan MKSM006 terhadap E. aerugenes (masing-masing 14.12 mm, 14.25 mm dan 15.75 mm) lebih tinggi secara bererti dibandingkan dengan antibiotik komersial, Penicillin (10 mm) dan ekstrak aksesi yang lain; MKSM011 (10.50 mm), MKSM013 (9 mm) dan MKSM020 (8.25 mm). Ekstrak aksesi MKSM002, MKSM004 dan MKSM006 juga menunjukkan aktiviti yang lebih tinggi terhadap S. aureus (masingmasing 11 mm, 11.75 mm dan 10.75 mm) dibandingkan dengan ekstrak aksesi yang lain. Tiada perbezaan signifikan dalam aktiviti antimikrob antara aksesi terhadap bakteria B. cereus, C. sakazakii dan L. innocua. Aksesi MKSM002 dan MKSM011 menunjukkan kepekatan perencatan minimum paling rendah yang boleh merencat patogen kajian iaitu 0.19 mg/mL, diikuti aksesi MKSM006 dan MKSM013 (0.39 mg/ mL), MKSM020 (0.78 mg/mL) dan MKSM004 (1.56 mg/mL).

Teks penuh(146KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.