Hala tuju penyelidikan dan pembangunan tanaman kopi di Malaysia
Rozlaily Zainol
Ringkasan
Kemasukan tanaman kopi ke Tanah Melayu khususnya Semenanjung Malaysia pada tahun 1875 dan 1900 membuka peluang kepada pembangunan industri kopi tempatan yang menguntungkan. Sifat tanaman kopi terutama jenis Liberica yang tahan lasak dan mudah beradaptasi terhadap cuaca panas serta tahan terhadap serangan perosak tanaman berbanding dengan kopi jenis Arabica membuka peluang besar untuk pengusaha tempatan memperluaskan kawasan penanaman bagi menampung permintaan kopi yang sentiasa meningkat. Kopi merupakan tanaman saka yang mempunyai tempoh juvenile yang agak panjang dan mengambil masa agak lama untuk berbunga dan berbuah. Pendekatan terbaik bagi meningkatkan produktiviti kopi tempatan adalah melalui teknologi dan inovasi yang dijana hasil daripada kajian penyelidikan dan pembangunan. Fokus penyelidikan kopi di MARDI memberi tumpuan untuk mengatasi isu dan cabaran utama yang dihadapi oleh petani/pengusaha kopi di sepanjang rantaian pengeluaran kopi tempatan pada masa kini. Kajian bermula dengan pembangunan klon berhasil dan berkualiti tinggi, sistem pengeluaran optimun, kawalan/ pengurusan perosak dan penyakit utama tanaman dan pengendalian lepas tuai bagi pengekalan kualiti. Kajian eksploitasi fungsian dan pembangunan produk kopi juga dilaksanakan terdorong atas kesedaran dan keperluan jaminan kesihatan yang lebih baik oleh masyarakat masa kini. Ini juga dapat membuka peluang pasaran baharu untuk mengembangkan produk tempatan ke peringkat antarabangsa.