Manual jaminan kualiti untuk baja bio dengan mikroorganisma tempatan bermanfaat (BMTB) bawah skim insentif pengeluaran padi (SIPP)

Category: Bil. 38

Nor Fadilah Abd Halim, Mohd Zafrul Arif Radhi, Stella Matthews, Noor Munyati Othman, Noor Shita Desa, Alias Mat Yunus dan Nor Hidayah Mohamad Dzani

Ringkasan
Padi merupakan tanaman makanan ruji yang mendapat banyak bantuan subsidi melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM). Pada tahun 2020, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM460 juta bantuan untuk Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP), RM620 juta untuk Skim Subsidi Harga Padi (SSHP), RM395 juta untuk Skim Subsidi Baja Padi (SBPKP) dan RM75 juta untuk Insentif Benih Padi Bertauliah (IBPS). Baja bio dengan mikroorganisma tempatan bermanfaat (BMTB) telah dipilih untuk dimasukkan dalam skim SIPP berjumlah RM156 juta selama dua tahun iaitu pada tahun 2020 sehingga 2021. MARDI telah ditugaskan untuk memastikan kualiti BMTB yang dibekalkan menepati spesifikasi yang ditetapkan oleh KPKM. Oleh itu, manual penentuan kualiti diwujudkan untuk dijadikan sebagai rujukan pemantauan kualiti BMTB. Sebanyak 102 sampel BMTB yang diterima daripada KPKM melalui tender terbuka BMTB pada tahun 2019 melalui e-perolehan oleh KPKM bagi pembekalan BMTB tahun 2020 – 2021 telah dinilai oleh MARDI. Melalui saringan yang telah dijalankan oleh MARDI, sebanyak lima daripada 102 sampel memenuhi semua kriteria spesifikasi BMTB (4.9% daripada jumlah sampel yang diterima oleh MARDI). Kesemua sampel didapati bebas daripada patogen yang disenaraikan (E. coli, Salmonella, P. aeruginosa dan S. aureus) manakala sebanyak 25.49% daripada sampel BMTB mengandungi populasi tiga mikroorganisma bermanfaat iaitu bakteria pengikat nitrogen, bakteria pelarut fosfat dan bakteria pelarut kalium. Manakala, 49.02% sampel mempunyai populasi mikroorganisma bermanfaat melebihi jumlah had minimum (Total Plate Count) iaitu 108cfu/ mL. Sebanyak 93.14% daripada sampel BMTB mematuhi julat pH antara 3 – 7 dan 97.06% daripada sampel mematuhi kriteria jumlah pepejal terlarut (TDS) kurang daripada 2 ppt (satu bahagian setiap seribu). Manual ini juga boleh digunakan sebagai garis panduan kualiti kepada kerajaan, penggubal dasar, jabatan atau agensi penguatkuasaan dan pengilang baja bio di Malaysia. Namun begitu, penambahbaikan manual ini sentiasa boleh dilakukan untuk memenuhi keperluan tanaman yang lain selari dengan kemajuan teknologi pertanian semasa.

Teks penuh(243KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2024 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.