Tahap penerimaan pengguna terhadap Minuman VitAto Berkultur dan faktor-faktor yang mempengaruhi pembelian: Kajian pengguna di Lembah Klang
Rawaida Rusli, Musaalbakri Abdul Manan, Bashah Ahmad, Ainur Zunira dan Norzaleha Kassim
Ringkasan
Di Malaysia, minuman berasaskan tumbuh-tumbuhan semakin mendapat perhatian dan dijangkakan industri ini akan terus mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) yang positif iaitu 7.8% bermula tahun 2023 – 2028 dengan hasil jualan berjumlah USD175.4 juta (2022). Sehubungan itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengambil inisiatif membangunkan minuman berasaskan sumber tempatan iaitu keledek varieti MARDI, VitAto. Oleh itu, kajian ini dijalankan ke atas 401 responden di Lembah Klang melalui teknik pensampelan rawak untuk menilai tahap penerimaan pengguna terhadap atribut produk yang dibangunkan ini. Inovasi ini juga digandingkan bersama dengan inovasi tanpa menggunakan teknik fermentasi iaitu Minuman VitAto Tidak Berkultur untuk mengetahui tahap kegemaran pengguna menggunakan kedua-dua teknik ini. Dapatan kajian menunjukkan Minuman VitAto Berkultur yang menggunakan teknik fermentasi mikroorganisma menunjukkan tahap penerimaan keseluruhan yang lebih baik dengan min skor 3.74 berbanding dengan tanpa teknik fermentasi. Warna (3.87), kemanisan (3.79), kepekatan (3.76) dan aroma (3.52) mencatatkan atribut tertinggi yang digemari responden bagi Minuman VitAto Berkultur. Sebanyak 67.3% responden menyatakan akan membeli dan sanggup untuk membayar lebih daripada harga pasaran iaitu dalam lingkungan 10 – 20%. Strategi pemasaran, tujuan pengambilan dan faktor harga serta manfaat nutrisi pada produk merupakan tiga faktor utama yang mempengaruhi pembelian pengguna.