Aplikasi teknologi pemprosesan tekanan tinggi (HPP) dalam memanjangkan jangka hayat rumpai laut Gracilaria segar
Tun Norbrillinda Mokhtar, Raja Arief Deli Raja Nasharuddin, Aida Hamimi Ibrahim, Mohamad Helmi Mohd Arshad dan Ahmad Huzairi Imam Musaniff
Ringkasan
Gracilaria merupakan rumpai laut merah yang kaya dengan sumber vitamin dan mineral. Gracilaria biasanya dimakan segar dan juga dikeringkan bagi tujuan memanjangkan jangka hayatnya. Pasaran segar adalah amat terhad kerana teksturnya yang berair dan kandungan nutrisi yang tinggi menyebabkan ia mudah rosak disebabkan pertumbuhan mikroorganisma. Pemprosesan tekanan tinggi (HPP) merupakan satu kaedah pengawetan makanan tanpa haba dilihat berpotensi digunakan bagi memanjangkan jangka hayat Gracilaria. HPP melibatkan tekanan tinggi yang menggunakan medium air untuk menyahaktifkan mikroorganisma berbahaya yang merosakkan produk. Selain itu, teknik pengawetan ini juga tidak memerlukan penambahan bahan kimia atau pengawet makanan, membolehkan produk yang dihasilkan mempunyai label bersih dan seterusnya dapat memberi nilai tambah kepada produk. Dalam kajian ini, rumpai laut Gracilaria daripada spesies G. changii diproses menggunakan teknik pemprosesan tekanan tinggi (HPP) pada parameter optimum. Hasil kajian mendapati kandungan mikrobiologi Gracilaria HPP adalah rendah dan tidak melebihi tahap bahaya sepanjang 3 bulan penyimpanan pada suhu sejuk dingin (4 ± 3 °C). Berbeza dengan produk Gracilaria tanpa HPP di mana produk hanya mampu bertahan kurang daripada dua minggu penyimpanan pada suhu sejuk dingin. Data yang diperoleh membuktikan bahawa penggunaan teknologi HPP mampu memanjangkan jangka hayat Gracilaria sehingga enam kali ganda lebih lama berbanding dengan Gracilaria tanpa HPP.