Varieti padi hibrid baharu MARDI HY0046H
Elixon Sunian, Muhammad Naim Fadzli Abd Rani, Mohd Solihen Jamal, Zakiah Mohd Zuki, Hamidah Mohd Sarif, Rahiniza Kamaruzaman, Asfaliza Ramli, Shahida Hashim, Siti Norsuha Misman, Kogeethavani Ramachandran, Mohd Fitri Masarudin, Syahrin Suhaimee, Mohd Syaifudin Abdul Rahman, Mohamad Najib Mohd Yusof, Maisarah Mohamad Saad dan Amir Syariffuddeen Mhd Adnan
Ringkasan
HY0046H merupakan varieti padi hibrid baharu MARDI yang dibangunkan menggunakan sistem hibrid tiga titisan. Induk terdiri daripada 0025A, 0025B dan E47. Proses pembangunan HY0046H telah memakan masa selama 16 musim. HY0046H dikategorikan matang sederhana (108 – 114 hari) di samping mempunyai tinggi pokok sekitar 75.9 cm dan pengisian biji bernas per tangkai melebihi 80%.Ciri kualiti beras dan nasi HY0046H adalah sesuai dengan kehendak pasaran tempatan. Selain itu, HY0046H menunjukkan kerintangan yang baik kepada karah tangkai dan sederhana rintang kepada penyakit karah daun. Penilaian di multi-lokasi (MLT) menunjukkan HY0046H mencatatkan purata hasil tertinggi iaitu 7.60 t/ha diikuti dengan HY0028H (7.32 t/ha) dan HY0042H (6.75 t/ha). Manakala, percubaan di penentusahan setempat (LVT) hasil tertinggi HY0046H dicatatkan di Seberang Perai pada musim 2 (8.61 t/ha), diikuti di Penaga pada musim 1 (8.19 t/ha) dan di Mulong pada musim 1 (7.55 t/ha). Analisis model AMMI menunjukkan hasil HY0046H adalah stabil merentasi kesemua lokasi yang dinilai dan kurang sensitif kepada faktor persekitaran. Selain itu, varieti HY0046H turut dilengkapi dengan pakej agronomi baharu yang menyasarkan pengeluaran padi hibrid berhasil tinggi melebihi 10 t/ha.Penanaman HY0046H mampu meningkatkan pendapatan petani menerusi kelebihan hasilnya berbanding dengan padi inbred dengan nilai keuntungan sebanyak RM1,914.00/ha.