Aplikasi e-SIAAP untuk amaran awal wabak serangan benah perang
Arina Mohd Noh, Nuraini Ahmad Ariff Shah, Muhammad Aufa Mhd Bookeri, Mohd Fitri Masarudin, Mohd ZulFadzli Marzuki, Wan Mohd Syafiq Wan Harun dan Yuhanawati Yunus
Ringkasan
Benah perang (Nilaparvata lugens) adalah antara perosak utama padi yang telah membawa kerugian besar kepada petani di Malaysia. Pengesanan awal adalah penting kerana perosak ini juga pembawa virus yang boleh menyebabkan kehilangan hasil yang lebih besar dalam pengeluaran padi. Oleh itu, pembangunan sistem amaran awal adalah antara elemen yang kritikal dalam pengurusan wabak serangan benah perang. Dalam penyelidikan ini, satu aplikasi yang dipanggil e-SIAAP telah dibangunkan untuk membantu petani mendapatkan maklumat berkaitan risiko serangan benah perang di kawasan mereka. Maklumat ini dijana daripada data yang diperoleh daripada perangkap cahaya yang diletakkan di lokasi bersamasama maklumat lain yang perlu dimasukkan oleh petani. Aplikasi e-SIAAP akan menghantar SMS kepada pengguna sebagai pemakluman bahawa kawasan mereka dikategorikan sebagai berisiko tinggi dan tindakan kawalan perlu dilakukan segera. Dengan menggunakan aplikasi ini, tindakan kawalan hanya diambil apabila perlu dan boleh mengurangkan penggunaan buruh secara tidak langsung. Selain itu, langkah pengawalan dapat dilakukan lebih awal dan ini dapat mengurangkan risiko serangan yang lebih teruk.