Pengurusan perosak dan penyakit tanaman cili benggala tanah rendah di bawah struktur pelindung hujan (SPH)
Wan Muhammad Azrul Wan Azhar, Suhanna Ahmad, Nur Farhanah Ishak, Zulaikha Mazlan, Siti Ilyani Arifin, Farah Huda Sjafni Suherman, Rozeita Laboh dan Nor Hazlina Mat Sa’at
Ringkasan
Penanaman cili benggala (Capsicum annum L.) mempunyai nilai ekonomi yang signifikan di Malaysia. Kebiasaannya cili benggala ditanam di tanah tinggi di bawah struktur pelindung seperti struktur perlindungan hujan (SPH). Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah memulakan penyelidikan untuk menilai varieti cili benggala terpilih untuk penanaman di tanah rendah. Kajian ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada varieti berhasil tinggi, tetapi juga untuk mengenal pasti perosak dan penyakit utama yang menimbulkan risiko kepada produktiviti tanaman agar langkah pengurusan perosak dapat dilakukan dengan segera dan berkesan. Berdasarkan pemerhatian dan penilaian, tiga perosak utama telah dikenal pasti menyebabkan serangan pada cili benggala iaitu kutu trip (Thrips spp.), lalat putih (Bemisia tabaci) dan hama cili (Polyphagotarsonemus latus). Sementara itu, dua penyakit utama yang menjejaskan cili benggala adalah jangkitan virus yang disebarkan oleh lalat putih dan reput buah yang disebabkan oleh kulat daripada jenis Fusarium incarnatum-equiseti (FIESC). Beberapa strategi pengurusan perosak dicadangkan secara kawalan kultur, kawalan biologi yang melibatkan musuh semula jadi dan kawalan kimia menggunakan racun perosak dengan berhemah untuk mengelakkan kesan sebaliknya kepada pengusaha dan persekitaran. Strategi dan langkah pengurusan perosak yang tepat mampu meminimumkan kerosakan dan kerugian kepada pengusaha.