Pemprosesan konfeksi jeli kristal sarang burung walit
Chua Hun Pin, Nicholas Daniel, Siah Watt Moey, Teresa Anie Meng, Zakaria Abdul Rahman, Ashahida Amran, Norman Isman dan Muhammad Shafiq Johari
Ringkasan
Pemprosesan konfeksi jeli kristal sarang burung walit (JKSB) menawarkan peluang yang besar dalam industri makanan melalui fortifikasi sarang burung walit dalam produk konfeksi gula tradisional iaitu agar-agar kering. Artikel ini menerangkan formulasi, langkah pemprosesan dan penentuan kualiti konfeksi JKSB. Ramuan utama termasuk agar-agar, gula, sarang burung walit dan putih telur. Perisa seperti madu kelulut dan daun pandan boleh ditambah bagi mempelbagaikan perisa. Pemprosesan konfeksi JKSB melibatkan penyediaan larutan agar-agar, penambahan sarang burung walit, pembentukan kiub agar-agar dan penyahidratan. Ujian mikrobiologi menunjukkan produk memenuhi piawaian keselamatan makanan sementara ujian nilai rasa menunjukkan penerimaan yang baik daripada panel sensori sehingga 18 bulan penyimpanan pada suhu bilik. Pembungkusan yang sesuai diperlukan untuk mengekalkan kualiti dan kesegaran produk semasa penyimpanan. Konfeksi JKSB menawarkan potensi besar dalam memenuhi permintaan pasaran dan memberikan manfaat ekonomi yang signifikan dalam industri makanan tempatan.