Penentuan kandungan sitrulina, likopena dan jumlah kandungan karotenoid dalam gegulung tembikai sepanjang tempoh penyimpanan
Hasnisa Hashim, Nur Farah Hani Muhamad, Nurul Nabilah Mohd Fiteri, Adawiyah Akbar dan Norman Isman
Ringkasan
Tembikai (Citrullus lanatus) merupakan buah tropika yang kaya dengan kandungan karotenoid (antioksidan yang kuat) dan asid amino sitrulina yang memberikan manfaat kesihatan. Selain dimakan segar, produk makanan kesihatan berasaskan tembikai boleh dibangunkan sejajar dengan saranan kerajaan untuk membangunkan produk makanan kesihatan. Dalam kajian ini, produk gegulung tembikai dibangunkan dan kestabilan sebatian aktif dikaji sepanjang tempoh penyimpanan. Kajian jangka hayat penyimpanan gegulung tembikai terhadap kestabilan sebatian aktif menunjukkan sebatian sitrulina, likopena dan karotena menurun dari 0 – 3 bulan penyimpanan di dalam kebuk klimatik (suhu 40 °C dengan kelembapan relatif 75%) iaitu bersamaan sehingga 18 bulan penyimpanan pada suhu bilik. Penggunaan bahan pembungkus Al/PE menunjukkan kandungan sebatian sitrulina, likopena dan karotena yang lebih tinggi (p <0.05) dalam gegulung tembikai berbanding dengan penggunaan bahan pembungkus Ny/PE. Oleh itu, bahan pembungkus Al/PE lebih sesuai digunakan untuk pembungkusan gegelung tembikai bagi melambatkan proses penurunan sebatian aktif di dalam gegulung tembikai.