Pengaruh masa dan suhu penyimpanan ke atas jumlah pepejal terlarut ubi keledek Lembayung
Ishak Hashim, Noor Ismawaty Nordin, Zaulia Othman dan Nurul Afza Karim
Ringkasan
Jumlah pepejal terlarut yang terdapat dalam isi ubi keledek adalah antara parameter penentuan awal keadaan kualiti ubi tersebut. Kajian ini bertujuan menentukan jumlah pepejal terlarut untuk varieti ubi keledek Lembayung yang dibungkus menggunakan bahan pembungkus plastik low-density polyethylene terhadap suhu tempat penyimpanan yang berbeza [10 °C, 13 °C dan 27 °C (ambien)] dan tempoh penyimpanan selama enam minggu. Pengukuran kandungan jumlah pepejal terlarut dilaksanakan pada setiap minggu. Analisis ANOVA menunjukkan model jumlah pepejal terlarut adalah signifikan. Suhu tempat penyimpanan dan tempoh penyimpanan menyumbang secara signifikan kepada jumlah pepejal terlarut, tetapi tiada interaksi pergabungan kedua-duanya. Bacaan purata jumlah pepejal terlarut menunjukkan penurunan sepanjang minggu penyimpanan, tetapi keputusan yang dijanakan oleh perisian statistik memberikan bacaan menurun sehingga minggu kelima dan meningkat pada minggu keenam dan berikutnya. Keputusan daripada data uji kaji dan hasil analisis statistik memberikan suhu terbaik untuk meminimumkan kadar kehilangan pepejal terlarut semasa penyimpanan ubi keledek Lembayung yang dibungkus dengan plastik polietilena berketumpatan rendah (LDPE) adalah pada 10 °C. Kajian ini diharap menyumbang maklumat yang berguna untuk mengurangkan kehilangan jumlah pepejal terlarut untuk penyimpanan ubi keledek Lembayung.