Kepelbagaian varieti padi tradisional di komuniti Orang Asli Semai di Pos Lenjang dan Pos Lanai, Lipis, Pahang
Muhammad Shafie Md Sah, Mohd Shahril Firdaus Ab Razak, Mohd Ramdzan Othman, Nur Idayu Abd Rahim dan Muhammad Bushran Badrol Hisham
Ringkasan
Kebergantungan pada beras memerlukan pembangunan varieti padi baharu secara berterusan kerana perubahan iklim global memberi tekanan biotik dan abiotik yang menjejaskan produktiviti padi. Bagi masyarakat orang asli khususnya suku Semai di Pos Lenjang dan Pos Lanai, mereka telah menanam varieti padi tradisional yang diwarisi sejak turun-temurun. Disebabkan faktor geografi penempatan mereka di sekitar lereng Banjaran Titiwangsa, mereka menanam padi dengan kebergantungan kepada sumber air hujan dan air semula jadi di kawasan mereka. Kajian ini dijalankan untuk menilai kepelbagaian sumber genetik padi tradisional dipulihara oleh suku Semai di penempatan berkenaan. Hasil temu bual yang dijalankan ke atas enam orang ahli masyarakat suku Semai di penempatan tersebut, sebanyak 22 aksesi padi tradisional telah berjaya dikumpulkan. Analisis molekular yang dijalankan mendapati varieti-varieti tradisional yang dikumpulkan adalah unik dan boleh dikumpulkan dalam dua kluster utama. Kluster pertama terdiri daripada varieti Kantat Perah Besar, Selayang, Kantat Perah, Rantai, Curi dan Lanai manakala dalam kluster kedua terdiri daripada varieti Apet, Selayang, Sepal, Gerit Kecil, Gerit Lumpur, Batu, Gerit Besar, Cengkah, Celaney, Pulut, Rantai dan Lentik. Walaupun sebahagian varieti mempunyai nama yang serupa seperti Selayang, Sepal, Gerit Kecil, Rantai dan Lanai, analisis dendrogram menggunakan penanda SSR menunjukkan ia adalah unik dan mempunyai kepelbagaian yang tinggi.