Kualiti lepas tuai cili organik (varieti baharu: L5) semasa penyimpanan dalam pembungkusan berbeza
Zaulia Othman, Nur Alisha Othman, Suriani Mohd Noor, Mohd Shukri Mat Ali @ Ibrahim, Suhana Omar, Norziana Zin Zawawi, Nur Syafini Ghazali, Azhar Mat Nor., Khdijah Rosly, Mohd Azhar Rahim, Nur Izzati Muhsin, Siti Nur Raihan Azmi dan Razali Mustaffa
Ringkasan
Kesan pembungkusan ke atas kualiti lepas tuai cili L5 semasa penyimpanan 10 °C telah dijalankan. Cili yang ditanam di Ladang Organik Bersepadu MARDI di bawah struktur pelindung dituai, dipilih, dibasuh, ditus, dibungkus ke dalam beg pembungkus berbeza (polietilena berketumpatan rendah: LDPE 0.04 mm dan polipropilena: PP 0.08 mm), disimpan pada 10 °C dan dianalisis setiap minggu. Sampel dianalisis ke atas perubahan fiosiologi (visual, rupa bentuk, warna, tekstur, penyakit), fizikal (warna (L, hue, chroma, tekstur) dan kimia (TSS, pH, TTA, kandungan asid askorbik). Keputusan menunjukkan jenis pembungkusan mempengaruhi secara ketara TSS, pH, TTA, kandungan asid askorbik dan tekstur cili organik. Pembungkusan tidak mempengaruhi secara ketara (L, hue dan chroma) cili organik. TSS, kandungan asid askorbik dan TTA cili organik berkurangan dengan ketara semasa penyimpanan. Nilai pH cili organik meningkat dengan ketara semasa penyimpanan manakala warna (L, hue dan chroma) tiada perubahan sepanjang penyimpanan. Tekstur cili organik kekal sepanjang empat minggu pertama penyimpanan dan menurun dengan ketara pada minggu kelima. Pemerhatian kualiti secara visual mendapati cili organik yang dibungkus dalam LDPE 0.04 kekal segar lebih baik daripada cili dalam PP 0.08 mm.
Tempoh hayat simpanan cili ialah empat minggu bagi cili yang disimpan dalam PP0.08 mm dan lima minggu dalam LDPE 0.04 mm pada suhu 10 °C.