Kaedah pengurusan perosak bersepadu bagi kawalan ulat ratus pada tanaman jagung bijian
Mazidah Mat, Tang Siew Bee, Zulaikha Mazlan, Norzainih Jasmin Jamin, Wan Khairul Anuar Wan Ali, Saiful Zaimi Jamil, Wan Muhammad Azrul Wan Azhar, Mohd Masri Saranum, Ahmad Zairy Zainol Abidin, Mohammad Shahid Shahrun dan Sivapragasam Annamalai
Ringkasan
Satu kaedah Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) bagi kawalan ulat ratus (FAW) pada tanaman jagung bijian telah dibangunkan. Syor IPM melibatkan gabungan kawalan pada, sebelum dan selepas penanaman. Pada 14 hari sebelum penanaman, pemantauan awal kehadiran populasi FAW di ladang disyorkan melalui pemasangan perangkap feromon. Pemantauan dan kawalan FAW diteruskan sepanjang tempoh kritikal iaitu 7 – 49 hari selepas tanam (HST). Tanaman disyorkan dirawat dengan racun bio berasaskan Bacillus thuringiensis pada 7 – 14 HST sekiranya tahap serangan FAW ialah 5 – 20%, sebaliknya semburan racun kimia mengandungi perawis aktif emamectin benzoate atau chlorantraniliprole sekiranya tahap serangan melebihi 20%. Pada 15 – 28 HST dan 29 – 49 HST, semburan ulangan sama ada sekiranya serangan FAW masih berlaku melebihi 5%. Syor IPM ini telah terbukti berkesan mengawal FAW pada jagung bijian tanpa kerosakan teruk tanaman dan kehilangan hasil. Di samping itu, kehadiran serangga bermanfaat dalam ladang dipulihara dengan hasil tuaian yang lebih selamat dari segi kandungan residu racun kimia yang digunakan. Penggunaan racun kimia adalah secara berhemah di samping mengamalkan pergiliran perawis aktif berbeza bagi mengurangkan risiko FAW rintang racun. Penggunaan agen biologi terhadap FAW sangat penting bagi meningkatkan keberkesanan kawalan dan mengurangkan kebergantungan kepada racun kimia dalam jangka masa panjang.