Kajian pengadaptasian dan pemilihan varieti bawang merah (Allium cepa L. aggregatum) yang sesuai di Malaysia
Wan Rozita Wan Engah, Mohamed Hafeifi Basir, Suhana Safari, Suhanna Ahmad, Nur Syafini Ghazali, Nor Hazlina Mat Sa’at, Najah Yahaya, Mohd Zamri Kamarudin dan Mohd Rais Hassan
Ringkasan
Malaysia mengimport sepenuhnya bawang segar (bawang besar, bawang merah dan bawang putih), terutamanya dari India kerana tiada pengeluaran secara besar-besaran di negara ini. Jumlah import bawang ialah 622.2 ribu mt (RM1,477.6 juta) pada 2021. India telah mengalami banjir besar pada Disember 2020 yang mengakibatkan bekalan bawang di dalam negara terjejas. Harga bawang merah meningkat dengan ketara daripada RM3/kg kepada RM16/kg untuk beberapa bulan (sehingga Februari 2021). Keadaan ini telah memberi tekanan kepada industri serta memberi implikasi buruk kepada pengguna. India telah menaikkan duti eksport bawang sebanyak 40% sehingga 31 Disember 2023, menekankan turun naik harga dan inflasi dalaman. Bagi mengelak masalah ini berulang pada masa hadapan, MARDI telah memulakan kajian pembangunan bawang merah pada tahun 2020 dengan menjalankan kajian pengadaptasian varieti bawang merah di tanah rendah dalam negara. Tiga varieti bawang merah yang diperkenalkan secara komersial sebagai BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 berpotensi ditanam di Malaysia dan telah dilancarkan semasa Showtech MARDI 2023 oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu.