Teknologi baja GREENCOAT: Formulasi pelepasan nutrien terkawal masa bagi tanaman betik
Muhammad Syahren Adzahar, Muhammad Hafiz Muhammad Hassan, Norsyahidah Mohd Sam dan Wan Mahfuzah Wan Ibrahim
Ringkasan
Pembangunan baja pintar dengan kadar pelepasan nutrien terkawal masa dan persekitaran telah dijalankan melalui ujian makmal dan lapangan untuk memenuhi keperluan spesifik tanaman betik. Beberapa parameter penting telah dibangunkan, termasuk formulasi komposisi bahan salutan agropolimer dari segi jisim molekul, ketebalan salutan, formasi partikel, suhu, porositi, kestabilan fizikal dan kadar pereputan dalam tanah. Agropolimer ini adalah bahan mudah reput yang mampu menyerap air sehingga 200%, menjadikannya sesuai sebagai salutan baja pelepasan perlahan. Penggunaan bahan mesra alam dengan modifikasi kimia-fizikal telah mengurangkan jumlah dan frekuensi aplikasi baja sebanyak 25 – 50%, hanya memerlukan pembajaan sekali setiap tiga bulan berbanding dengan bulanan dalam kaedah konvensional. Ujian mendapati formulasi baja pintar GREENCOAT betik mampu meningkatkan keberkesanan nutrien (N: 58.8%, P: 35.3%, K: 51.5%) dan mengurangkan kehilangan nutrien dengan ketara. Agropolimer yang dihasilkan daripada sisa pertanian tempatan digunakan sebagai bahan salutan bagi menggantikan salutan polimer kimia yang sukar reput, menjadikannya satu teknologi bernilai tambah untuk petani dan menyokong kelestarian pertanian yang lebih mesra alam.