Mekanisasi pengurusan jerami berinovatif ke arah kelestarian industri padi
Wan Mohd Aznan Wan Ahamad, Mohd Shahmihaizan Mat Jusoh, Anuar Abdullah, Teoh Chin Chuang, Mohd Taufik Ahmad, Khairul Idzwan Ayub, Mohd Fadly Abdull Rasid, Bunyamin Abu Kassim, Zawayi Mat, Wan Mohd Syafiq Wan Harun, Norahshekin Abd Rahman, Mohd Shukry Hassan Basri dan Hasbullah Yusoff
Ringkasan
Jerami padi merupakan sisa tanaman yang dihasilkan semasa operasi penuaian. Kebiasaannya, ia dibakar secara terbuka dan dibajak ke dalam tanah. Selain itu, sebahagian jerami padi juga dikutip untuk pelbagai kegunaan pada musim kering. Pengumpulan jerami secara komersial melibatkan beberapa aktiviti iaitu pemotongan tunggul padi menggunakan rotary slasher, penghasilan tongkol jerami menggunakan baler dan pengangkutan di ladang. Penambahbaikan terhadap kaedah pengurusan jerami padi sedia ada dilaksanakan untuk meningkatkan tahap kecekapan dan keselamatan operasi. Aktiviti pemotongan tunggul padi dengan menggunakan implemen yang direka bentuk baharu dapat meningkatkan tahap keselamatan operasi dengan kadar kerja 0.7 ha/jam. Selain itu, konsep operasi 2 dalam 1 iaitu potong dan kumpul tunggul dan jerami padi dapat meningkatkan kecekapan aktiviti penghasilan tongkol jerami (bale). Penggunaan teknologi baler yang diintegrasi dengan mekanisme pengangkut disangkut pada sangkutan mata tiga traktor dengan kapasiti sehingga 331.2 kg/jam atau sehingga 50 tongkol sejam bergantung kepada talaan berat tongkol dan kelembapan jerami. Tongkol yang dihasilkan bersaiz kecil iaitu 50 cm garis pusat dan 70 cm panjang dengan berat sehingga 26.7 kg. Penghasilan tongkol bersaiz kecil dapat memudahkan operasi pengurusannya di ladang dan boleh dimanfaatkan oleh para petani untuk meningkatkan pendapatan serta sosioekonomi masyarakat setempat ke arah kemampanan industri padi negara.