Penilaian rizobakteria untuk kawalan biologi yang efektif dan peningkatan pertumbuhan tanaman
Farah Farhanah Haron
Ringkasan
Potensi rizobakteria dari Cameron Highlands sebagai agen kawalan biologi dan penggalak pertumbuhan tanaman dinilai. Sebanyak 42 isolat rizobakteria berjaya diasingkan daripada tanah rizosfera di kawasan penanaman kubis dan ciri-ciri morfologi serta pengecaman Gram telah dilakukan untuk mengenal pasti bakteria yang berpotensi. Sebahagian besar isolat yang diperoleh adalah Gram-positif dan terdiri daripada bentuk rod dan kokus. Aktiviti penggalak pertumbuhan tanaman dinilai melalui kemampuan rizobakteria untuk mengikat nitrogen, melarutkan fosfat dan kalium, di mana beberapa isolat menunjukkan aktiviti yang signifikan dalam menyediakan nutrien penting kepada tanaman. Saringan aktiviti antimikrob menggunakan kaedah resapan cakera dan dwikultur menunjukkan bahawa beberapa isolat mampu menghalang pertumbuhan patogen tanaman seperti Xanthomonas sp. dan Fusarium sp. membuktikan potensi mereka sebagai agen kawalan biologi yang efektif. Keberkesanan rizobakteria ini bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada baja dan racun perosak kimia, tetapi juga menyumbang kepada peningkatan kesihatan tanah dan kelestarian pertanian. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa rizobakteria dari Cameron Highlands berpotensi tinggi untuk diaplikasikan dalam amalan pertanian mampan sebagai agen kawalan biologi dan penggalak pertumbuhan tanaman.