Manfaat residu teknologi biogas terhadap pertumbuhan tanaman kundur
Sashikala Maruthai Pillai
Ringkasan
Biogas berpotensi menjadi salah satu sumber tenaga moden yang mendorong pembangunan mampan dalam sektor pertanian. Sebuah sistem prototaip biogas telah dibina di MARDI Cameron Highlands, di mana kebanyakan sisa pepejal, termasuk pelbagai bahan buangan sayur seperti kubis, salad dan sebagainya serta campuran baja cecair telah difermentasi secara anaerobik untuk menghasilkan biogas yang boleh digunakan sebagai sumber tenaga bagi pemanasan dan penjanaan kuasa elektrik. Selain biogas sebagai hasil utama, residu biogas yang dihasilkan oleh sistem ini digunakan sebagai alternatif baja aktiviti penanaman. Kajian telah dijalankan untuk menilai kesan residu biogas terhadap tanaman buah kundur dengan membandingkan ciri-ciri fisiologi pertumbuhan tanaman tersebut dengan penggunaan baja kimia. Hasil kajian menunjukkan bahawa pertumbuhan lebih ketara dicapai dengan penggunaan residu biogas berbanding dengan baja kimia, termasuk peningkatan ketinggian pokok sebanyak 26 – 39%, diameter pokok 4 – 17% dan penghasilan buah kundur sebanyak 100 – 400%. Penggunaan residu biogas dilihat mampu meningkatkan pertumbuhan tanaman dengan ketara, memberikan input nutrisi yang signifikan kepada tanaman dan dapat mengurangkan kos.