Kepelbagaian genetik padi bukit (Oryza sativa famili Poaceae) warisan suku kaum Kenyah di Sungai Asap, Belaga, Sarawak
Muhammad Shafie Md Sah, Mohd Ramdzan Othman, Mohd Shahril Firdaus Abd Razak, Adam Haris Gerten Abdullah, Nur Idayu Abd Rahim, Noorasmah Saupi dan Tunung Robin
Ringkasan
Padi bukit merupakan sumber karbohidrat yang menjadi makanan utama bagi masyarakat Orang Ulu di pedalaman Sarawak. Masyarakat Kenyah, etnik Orang Ulu yang mendiami kawasan hulu Batang Rejang telah lama mengamalkan kaedah pertanian tradisional seperti mana yang diwarisi daripada generasi terdahulu. Temubual dan tinjauan kawasan penanaman padi bukit masyarakat Kenyah di Lebu’ Kulit dan Lepo’ Badeng mendapati sebanyak tujuh aksesi padi bukit telah dikenal pasti di kawasan Lebu’ Kulit iaitu Padi Kerawing Timai, Kerawing Mempat, Iban, Pulut Sepakau dan tiga jenis Padi Abeng yang berbeza. Manakala, enam varieti di Lepo’ Badeng iaitu Padi Pasir, Alik, Kabeng/Abeng, Pulut Sepakau, Lejang dan Kerawing. Hasil analisis molekular menggunakan penanda molekul SSR mendapati varieti padi bukit yang diwarisi oleh masyarakat Kenyah di Sungai Asap adalah unik dan boleh dikelaskan kepada dua kluster utama. Kluster pertama terdiri daripada Padi Kerawing, Lejang, Pasir, Alik dan Pulut Sepakau. Manakala kluster kedua terdiri daripada Padi Abeng 2, Kerawing Timai, Kerawing Mempat, Abeng 3, Abeng/Kabeng dan Iban. Analisis dendrogram juga mengesahkan bahawa setiap varieti adalah unik dan tidak mempunyai hubungan yang rapat kecuali Padi Pulut Sepakau yang hampir sama kedua-duanya. Kajian ini juga menunjukkan bahawa sumber genetik padi yang diwarisi oleh masyarakat Kenyah di Sungai Asap mempunyai kepelbagaian yang tinggi.