Fusarium incarnatum-equiseti species complex (FIESC), agen penyebab penyakit reput buah cili benggala di Malaysia
Nur Farhanah Ishak, Suhanna Ahmad, Zulaikha Mazlan, Wan Muhammad Azrul Wan Azhar, Aishah Umairah Khairuddin, Rozeita Laboh dan Nor Hazlina Mat Sa’at
Ringkasan
Cili benggala (Capsicum annuum L. var. grossum Sendt) merupakan sayuran kegemaran rakyat Malaysia yang lazimnya ditanam di tanah tinggi kerana persekitaran sejuk yang sesuai. Namun, kawasan pengeluaran yang terhad dan permintaan yang meningkat menyebabkan komoditi ini banyak diimport. Untuk mengurangkan kebergantungan import, MARDI telah membangunkan teknologi pengeluaran cili benggala di tanah rendah di bawah struktur perlindungan hujan (SPH) yang mampan. Penyakit reput buah cili benggala yang disebabkan kulat Fusarium incarnatum-equiseti species complex (FIESC) telah dikesan di plot kajian di MARDI, Serdang. Penyakit ini menyebabkan lesi basah kecil yang bertukar menjadi spora berwarna putih, merah jambu atau kekuningan, lalu menjejaskan kualiti dan hasil. Pengesanan tepat kulat FIESC penting untuk strategi pengurusan penyakit yang berkesan. Kajian mendapati benomyl dapat merencatkan pertumbuhan FIESC sepenuhnya berbanding dengan mancozeb dan propineb. MARDI kini membangunkan pendekatan pengurusan perosak bersepadu (IPM) melibatkan kawalan kultur, biologi dan kimia untuk membantu petani mengurus penyakit secara mesra alam.