MRQ 107 – Varieti padi wangi pilihan untuk produk premium
Hamidah Mohd Sarif, Asfaliza Ramli, Elixon Sunian, Zakiah Mohd Zuki, Shamsul Amri Saidon, Heri Yanto Mustafa, Nur Sufiah Sebaweh, Rahiniza Kamaruzaman, Shahida Hashim, Shajarutulwardah Mohd Yusob, Kogeethavani Ramachandran, Siti Norsuha Misman, Mohd Fitri Masarudin, Jeevan Karruppan, Hanisa Hosni, Amir Syariffuddeen Mhd Adnan, Maisarah Mohamad Saad dan Mohd Solihen Jamal
Ringkasan
MRQ 107 merupakan varieti padi wangi baharu MARDI yang dihasilkan melalui kaedah kacuk ulang antara varieti MRQ 74 dan varieti ulangan (recurrent parent) MRQ 76. Pembangunan varieti bermula dengan kacukan yang dilaksanakan bermula Musim Luar 2010 yang seterusnya melalui pemilihan pukal dan pedigri serta penilaian hasil di MARDI Seberang Perai. Varieti-varieti yang berpotensi akan dimajukan ke peringkat penilaian multilokasi dan penentusahan setempat. Pemilihan adalah berdasarkan ciri-ciri terbaik varieti seperti aroma, kualiti biji padi dan beras, hasil, serta kerintangan terhadap perosak dan penyakit utama padi. MRQ 107 mempunyai tempoh matang yang sederhana iaitu 112 – 115 hari lepas tabur, pokok yang rendah (96 cm), peratus pengisian biji bernas per tangkai yang baik (74%), berat seribu biji padi sekitar 24 g dan perolehan beras kepala 54% dengan kandungan amilosanya rendah (19.3%). Keunikan MRQ 107 terletak pada tekstur nasi yang lembut dan beraroma serta sesuai dijadikan beras rebus sebagai produk komersial. Selain itu, varieti ini juga menunjukkan kerintangan terhadap penyakit karah daun dan karah tangkai dan julat hasil antara 3.0 – 6.6 t/ha di peringkat penilaian penentusahan setempat (LVT).