Teknologi pengeluaran lembu pedaging Kedah- Kelantan Elit (KK Elit) dalam sistem intensif dan semiintensif
Marini Ahmad Marzuki, Mohd Rosly Shaari, Predith Michael, Mohd Hafiz Abdul Wahab, Amie Marini Abu Bakar, Nik Siti Mariani W. Hamat, Mohd Shaharizan Mohd Sham, Nurul Fazliana Abdul Ghani dan Nor Idayusni Yunus
Ringkasan
Baka lembu Kedah-Kelantan (KK) merupakan lembu pedaging baka tempatan yang perlu dibuat usaha pemuliharaan. Lembu KK popular dalam kalangan penternak disebabkan daya tahannya yang tinggi terhadap iklim tropika dan serangan penyakit. MARDI telah melancarkan program pembiakan terpilih dan peningkatan baka secara berstruktur untuk memilih baka KK tempatan dengan ciri-ciri fenotip seragam, kesuburan dan berat matang yang tinggi. Selepas 12 tahun penyelidikan berterusan, MARDI telah berjaya membangunkan baka lembu KK Elit. Lembu KK Elit jantan berupaya mencapai berat 430 – 460 kg pada umur 3 – 4 tahun berbanding dengan KK asal yang mempunyai berat 220 – 250 kg. Dengan pertambahan berat hampir dua kali ganda (84%) berbanding baka asal, penternak lembu KK Elit boleh memperoleh pendapatan lebih (dianggarkan 80%) daripada hasil jualan daging. Dengan menambah baik sistem pengurusan terutama dari aspek pemakanan iaitu dengan pemberian foder dan makanan tambahan, purata pertambahan berat badan harian lembu KK dalam sistem semiintensif dapat ditingkatkan daripada 160 – 350 g/hari. Empat jenis formulasi makanan telah dibangunkan dengan pengoptimuman kos untuk empat peringkat pengeluaran ternakan iaitu prapembiakan, pembiakan, penyusuan dan pembesaran. Formulasi tersebut apabila diberi kepada KK Elit mampu meningkatkan prestasi pertumbuhan dan pembiakan seperti kadar kelahiran, kadar beranak dan pengeluaran susu berbanding dengan kumpulan kawalan.