MR 326: Meneroka potensi penanaman padi di kawasan luar jelapang
Zakiah Mohd Zuki, Hamidah Mohd Sarif, Elixon Sunian, Amirrudin Mokhtar, Rahiniza Kamaruzaman, Shamsul Amri Saidon, Asfaliza Ramli, Mohd Solihen Jamal, Shahida Hashim, Shajarutulwardah Mohd Yusob, Kogeethavani Ramachandran, Siti Norsuha Misman, Mohd Fitri Masarudin, Maisarah Mohamad Saad dan Amir Syariffuddeen Mhd Adnan
Ringkasan
MR 326 merupakan varieti padi baharu MARDI yang diperkenalkan untuk meningkatkan hasil dan alternatif kepada varieti sedia ada terutamanya di kawasan luar jelapang. Varieti ini dikategorikan sebagai pokok yang sederhana tinggi, tegak serta daun pengasuh sederhana panjang. Tempoh masa matang ialah 118 – 120 hari lepas tabur dan dikategorikan sebagai tempoh matang sederhana. Berat 1,000 biji adalah sebanyak 29.2 g dan faktor ini menyumbang kepada potensi hasil yang tinggi. Perolehan mengilang ialah 61.3% dengan perolehan beras kepala sekitar 75%. Beras MR 326 dikategorikan sebagai beras yang panjang dan tirus, kandungan amilosanya sederhana (22.5%) dan tekstur nasinya adalah sederhana lembut. Kelebihan varieti ini terletak pada prestasi hasil yang tinggi di kawasan luar jelapang iaitu 4.7 t/ha di Merlimau, Melaka dan 7.3 t/ha di Sg. Derakha, Kedah pada musim kedua di peringkat penilaian penentusahan setempat (LVT). Varieti MR 326 juga telah diuji di peringkat multilokasi di Samarahan, Sarawak dan menunjukkan hasil sebanyak 7.76 t/ha (MU2017/2018) dan 4.44 t/ha (ML2018). Selain itu, varieti ini juga rintang terhadap penyakit karah daun dan karah tangkai. Penilaian hasil di kawasan luar jelapang padi memberi manfaat kepada pemilihan varieti yang sesuai untuk kawasan tersebut yang berpotensi untuk meningkatkan hasil sekurang-kurangnya 1 t/ha.