Prosedur pembiakan ulat pengorek batang padi secara massa di rumah kaji serangga
Nur Atiqah Mohd Khari, Nazrin Rusli dan Maisarah Mohamad Saad
Ringkasan
Pembiakan ulat pengorek batang secara massa telah dijalankan di dalam rumah kaji serangga di MARDI Seberang Perai. Terdapat dua fasa utama untuk proses pembiakan ulat pengorek batang ini iaitu fasa prapembiakan sebagai persediaan proses pembiakan dan fasa sebenar pembiakan ulat pengorek batang. Fasa 1 melibatkan dua aktiviti utama iaitu pensampelan ulat pengorek batang dan penanaman padi sebagai sumber makanan. Aktiviti pensampelan ulat pengorek batang menerangkan cara pensampelan ulat pengorek batang di lapangan. Pensampelan ulat pengorek batang ini adalah berbeza mengikut peringkat hidup serangga tersebut iaitu pada peringkat telur, larva, pupa dan dewasa. Seterusnya Fasa 2, menerangkan kaedah pembiakan ulat pengorek batang kepala hitam bermula daripada penghasilan telur, penjagaan larva, pengelasan pupa dan persenyawaan kupu-kupu. Larva yang berjaya dibiakkan boleh digunakan bagi kajian kerentanan atau digunakan sebagai garis dasar (baseline) kajian-kajian berkaitan. Secara kesimpulannya, artikel ini memberi panduan berdasarkan hasil kajian penyelidikan yang dilaksanakan oleh MARDI berkenaan langkah-langkah yang perlu diambil dan diikuti oleh penyelidik atau agensi yang ingin melakukan penyelidikan atau pembiakan ulat pengorek batang.