Penilaian kaedah aplikasi biopestisid secara pecahan optimum bagi kawalan penyakit reput lembut serta prestasi pertumbuhan tanaman kubis
Azlan Azizi Muhamad Nor, Zafrul Arif Radhi, Muhammad Nawal Ramli, Ahmad Arif Ismail dan Nor Hidayah Mohd Dzani
Ringkasan
Tanaman kubis merupakan tanaman penting dan utama di kawasan beriklim sejuk di Malaysia. Namun, serangan perosak dan penyakit menjadi faktor utama kemerosotan jumlah pengeluaran tanaman kubis di Malaysia. Pendekatan mesra alam melalui penggunaan agen biologi sebagai kawalan penyakit diyakini dapat mengatasi masalah ini. Dalam kajian ini, mikroorganisma daripada kumpulan Streptomyces sp. telah dikenal pasti dan diformulasikan sebagai biopestisid. Penilaian pecahan aplikasi biopestisid telah dijalankan bagi memilih pecahan aplikasi yang optimum bagi kawalan penyakit reput lembut serta kesan prestasi pertumbuhan dan hasil tanaman dimana aplikasi empat kali pecahan terbukti sebagai kaedah yang paling optimum. Rawatan ini bukan hanya berkesan dalam mengawal penyakit reput lembut, tetapi juga memberikan peningkatan terhadap hasil tanaman kubis. Peningkatan dalam ketinggian, diameter kanopi dan diameter batang menunjukkan bahawa aplikasi empat kali pecahan bukan sahaja berfungsi sebagai agen kawalan penyakit, tetapi juga sebagai perangsang pertumbuhan tanaman. Penggunaan biopestisid ini, khususnya dalam aplikasi empat kali pecahan, menawarkan pendekatan pengurusan tanaman yang lebih mesra alam dan berdaya saing bagi sektor pertanian kubis di Malaysia, menjadikan ia langkah penting dalam meningkatkan daya tahan, hasil dan kualiti tanaman secara berkesan dan mampan.