Kajian terhadap corak pertumbuhan lembu Kedah- Kelantan Elit
Mohd. Hafiz Abd Wahab, Mohamad Hifzan Rosali, Izuan Bahtiar Ab. Jalal, Nik Siti Mariani W. Hamat, Nurul Fazliana Abdul Ghani, Nurulhuda Md Ozman dan Muhammad Mohd Sabri
Ringkasan
Kajian ini bertujuan menilai corak pertumbuhan lembu Kedah-Kelantan Elit (KKE) jantan dan betina menggunakan empat model regresi tidak linear: Gompertz, von Bertalanffy, Brody dan Logistik. Data berat badan daripada 81 ekor lembu betina dan 30 ekor lembu jantan digunakan. Model Logistik menunjukkan kesesuaian terbaik dengan nilai R² tertinggi dan MSE terendah. Berat matang lembu jantan KKE ialah 364.3 ± 10.15 kg, manakala betina 249.3 ± 4.11 kg. Lembu betina mencapai kematangan lebih cepat (0.12 ± 0.01) berbanding dengan jantan (0.09 ± 0.01). Korelasi negatif antara kadar matang dan berat matang (–0.425 hingga –0.764) menunjukkan haiwan dengan berat matang tinggi cenderung matang lebih lambat. Model regresi tidak linear memudahkan tafsiran hubungan umur-berat melalui beberapa parameter berbanding dengan data mentah yang kompleks. Pemahaman corak pertumbuhan membantu penternak merancang strategi pemakanan yang tepat, mengoptimumkan kenaikan berat badan dan menentukan masa pemasaran ternakan yang sesuai. Pengetahuan tentang korelasi kadar kematangan dan berat matang pula membolehkan pengurusan ternakan yang lebih berkesan. Selain itu, pemahaman potensi genetik ini membantu pemilihan induk pembiakan yang tepat, meningkatkan produktiviti dan daya tahan ternakan.