Penentuan sebatian kimia toksik alkaloid (dioscorine) dalam ubian tradisional menggunakan Kromatografi Cecair Digabungkan dengan Jisim Penerbangan Quadrupole (LCMS-Q-ToF) dan Kromatografi Cecair Berprestasi Tinggi (HPLC)
Mohd Zulkhairi Azid, Razali Mirad, Mohd Norfaizal Ghazalli, Abdul Muhaimin Abdul Kadir, Siti Aisyah Mohd Noor, Saidatul Aqilah Mohamad Yusof, Nur Daliana Yusof dan Salmaniza Salleh
Ringkasan
Ubian tradisional (Dioscorea spp.) seperti ubi badak, ubi nasi, ubi gadong dan ubi nasi merupakan sumber makanan alternatif masyarakat di kawasan Pantai Timur (contoh Kelantan dan Terengganu) dan suku kaum orang asli di Malaysia. Ubian daripada genus Dioscorea jarang mendapat permintaan dan pendedahan disebabkan sifatnya yang beracun. Dioscorine merupakan sebatian alkaloid toksik (C13H19NO2) dan hanya dilaporkan didapati di dalam ubian tradisional (Dioscorea spp.). Dioscorine bersifat neurotoksin dan boleh mengganggu sistem saraf, memberikan kesan loya dan pening kepala kepada manusia jika toksik di dalam ubi tersebut tidak disingkirkan dengan cara yang betul. Pengesktrakan dioscorine telah dijalankan ke atas lima jenis ubian tradisional terpilih. Manakala, penentuan dan pengenalpastian sebatian tersebut dianalisis menggunakan LCMS-Q-ToF dan HPLC. Parameter analisis telah disahkan berdasarkan prosedur rujukan terdahulu dengan beberapa pengubahsuaian. Walaupun terdapat laporan bagi penentuan sebatian dioscorine sebelum ini, namun penggunaan instrumentasi terkini (LCMS-Q-ToF) lebih efisien dan tepat berdasarkan padanan dan corak fragmen berat jisim molekul dengan data pustaka, penggunaan amaun sampel yang sedikit sekali gus mengurangkan keperluan penyediaan sampel yang banyak. Diharapkan parameter yang dibangunkan ini dapat dijadikan sebagai parameter khusus dalam menentukan sebatian dioscorine dalam ubian tradisional pada masa hadapan.