Pola penggunaan asid amino sebagai kaedah terbaharu saringan mikrob sebagai agen kawalan biologi yang berkesan terhadap patogen bawaan tanah
Nur Adliza Baharom, Ikeda Saki dan Masafumi Shimizu
Ringkasan
Keberkesanan mikrob sebagai agen kawalan biologi dalam pengurusan penyakit tanaman di lapangan sering kali dilaporkan tidak konsisten dengan prestasi aktiviti antagonistik semasa di peringkat in vitro. Bagi membangunkan kaedah saringan yang lebih tepat dan berkesan untuk pemilihan mikrob sebagai agen kawalan biologi, satu kajian telah dibuat untuk menilai hubung kait antara beberapa ciri agen kawalan biologi strain Pseudomonas fluorescens kompleks (PF), seperti aktiviti antibakteria secara in vitro, penggunaan 21 jenis asid amino (triptofan, valin, sistein, treonina, fenilalanina, metionina, lisina, tirosina, asid glutamik, leusina, isoleusina, glisina, sitrulina, alanina, ?-alanina, serina, prolina, histidina, glutamina, asparagin dan arginin) sebagai sumber nutrien dan keberkesanan dalam mengawal patogen penyakit layu bakteria tomato (TBW). Menggunakan analisis Partial Least Square Regression (PLSR), model ramalan berdasarkan keupayaan strain PF menggunakan asid amino (tirosina, asid glutamik, leusina, serina, prolina, isoleusina, histidina, glutamina, asparagina dan arginine) menunjukkan model dengan ketepatan yang tinggi (R² = 0.72). Keputusan ini menunjukkan bahawa pola penggunaan asid amino boleh menjadi indikator utama bagi saringan mikrob yang berkesan sebagai agen kawalan biologi untuk penyakit TBW, yang merupakan patogen bawaan tanah.
