Penilaian prestasi teknologi pembasuhan cili bagi penghasilan puri
Asnawi Shahar, Wan Mohd Fariz Wan Azman, Masniza Sairi, Teoh Chin Chuang, Mohd Shahrir Azizan, Mohammad Shukri Johari, Nur Ilida Mohamad, Muhammad Aliq Jamaluddin dan Mohd Azmirredzuan Sani
Ringkasan
Proses pembasuhan merupakan salah satu proses utama dalam industri penghasilan puri untuk memastikan cili berada dalam keadaan bersih dan selamat sebelum dikisar. Proses pembasuhan yang tidak efektif akan memberi kesan negatif kepada kualiti akhir produk, mengurangkan keuntungan serta boleh menjejaskan jangka hayat produk. Kajian penilaian prestasi terhadap teknologi pembasuhan cili yang telah dibangunkan telah dilaksanakan untuk menilai keberkesanan teknologi serta mengenal pasti parameter pemprosesan optimum untuk memastikan proses pembasuhan yang efektif, meningkatkan kapasiti pengeluaran serta keterjaminan kualiti cili yang dihasilkan. Kajian hubung kait antara kadar suapan dan masa penahanan cili dalam mesin pembasuh dinilai untuk mendapatkan kapasiti pengeluaran optimum teknologi pembasuhan. Untuk memastikan keberkesanan teknologi pembasuhan ini terhadap cili, peratus kecekapan dan kecederaan semasa proses pembasuhan, serta perbezaan jumlah mikrobiologi pada cili sebelum dan selepas dibasuh juga turut dinilai. Berdasarkan hasil ujian prestasi, peratus pencucian optimum dicapai apabila cili dimasukkan ke dalam teknologi pembasuhan dengan kadar suapan 2.54 kg/min. Analisis mikrobiologi menunjukkan teknologi pembasuh cili ini berkesan untuk mengurangkan jumlah mikroorganisma pada cili termasuk bakteria aerobik, yis, kulat serta koliform. Secara keseluruhan, teknologi pembasuhan ini bersesuaian dan berkesan untuk memastikan cili berada dalam keadaan bersih dan selamat sebelum diproses menjadi puri.
