Teknologi pengeluaran kubis bulat di tanah rendah
Farahzety Abdul Mutalib, Farah Huda Sjafni Suherman, Nur Adliza Baharom, Nur Syafini Ghazali, Illani Zuraihah Ibrahim, Theeba Manickam, Siti Noor Aishikin Abdul Hamid, Saiful Zaimi Jamil, Nurin Izzati Mohd Zulkifli, Mohd Fazly Mail dan Rawaida Rusli
Ringkasan
Teknologi pengeluaran kubis bulat tanah rendah sangat diperlukan untuk meningkatkan pengeluaran kubis bulat dan menjana ekonomi negara sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap kubis bulat import terutamanya dari China. Kajian pemilihan varieti yang sesuai ditanah rendah yang dapat memberikan pengeluaran hasil yang optimum (26,667 pokok/ha, hasil dalam lingkungan 30 t/ha dengan purata berat sebiji 1.5 kg) dan disyorkan kubis bulat varieti 311 All season dan K33 US Tropical untuk penanaman komersial secara penanaman terbuka. Teknologi pengurusan anak benih menggunakan kiub gambut dengan dwifungsi medium dan bekas tanaman melalui pengakaran air-pruned dapat mengurangkan transplant shock, juga teknologi pembajaan BioRichar sebagai baja organik (asas) diikuti dengan baja sebatian (N:P2O5:K2O:MgO = 12:12:17:2) pada kadar 1.8 t/ha. Amalan pengurusan perosak dan penyakit secara kimia, fizikal, biopestisida dan eko-kejuruteraan tanaman disyorkan bagi meminimumkan kehilangan hasil serta pengurangan kebergantungan penggunaan racun kimia secara tunggal. Pengekalan kualiti kubis bulat melalui pembungkusan menggunakan plastik filem regang dan disimpan pada suhu 5 °C. Secara keseluruhannya, dengan adanya teknologi pengeluaran kubis bulat tanah rendah, ia memberi peluang kepada petani untuk peluasan penanaman kubis bulat di tanah rendah dengan hasil optimum dan jaminan kualiti untuk mengatasi masalah kebergantungan tinggi negara terhadap import kubis bulat serta menjamin bekalan makanan berkualiti dan selamat untuk dimakan.
