MRQ 111 – varieti padi wangi baharu hasil penambahbaikan varieti MRQ 76
Hamidah Mohd Sarif, Asfaliza Ramli, Shamsul Amri Saidon, Elixson Sunian, Zakiah Mohd Zuki Rahiniza Kamaruzaman, Heri Yanto Mustafa, Nur Sufiah Sebaweh, Shahida Hashim, Shajarutulwardah Mohd Yusob, Kogeethavani Ramachandran, Siti Norsuha Misman, Mohd Fitri Masarudin, Jeevan Karruppan, Hanisa Hosni, Amir Syariffuddeen Mhd Adnan dan Mohd Solihen Jamal
Ringkasan
Varieti MRQ 111 dihasilkan melalui kaedah kacuk ulang antara varieti padi wangi popular MRQ 76 dan MRQ 85 dan varieti ulangan MRQ 76. Proses pembangunan varieti bermula daripada kacukan sehingga penanaman peningkatan skala mengambil masa 14 tahun. Kacukan awal telah dilaksana pada Musim Luar 2010, yang seterusnya melalui pemilihan populasi pukal dan pedigri yang memfokuskan terhadap tempoh matang yang singkat, pokok yang rendah, serta penekanan terhadap ciri kualiti seperti biji padi yang panjang, tirus dan wangi. Titisan seragam yang diperoleh dimajukan ke peringkat penilaian hasil lanjutan dan seterusnya varieti ini dinilai di peringkat percubaan multilokasi dan penentusahan setempat di jelapang padi utama pada Musim Utama 2018/2019 sehingga Musim Utama 2021/2022. MRQ 111 matang sekitar 116 – 118 hari dengan peratus pengisian biji bernas per tangkai sekitar 80% dan berat 1,000 biji sekitar 25.1 g. Beras MRQ 111 dikategorikan sebagai beras yang panjang dan tirus, kandungan amilosanya rendah (16.1%) dan perolehan beras kepala melebihi 75%. Keunikan MRQ 111 terletak pada tekstur nasinya yang lembut dan sedikit melekit, ciri aroma yang sederhana serta sesuai untuk penghasilan beras rebus. Varieti ini juga menunjukkan kerintangan yang baik terhadap penyakit karah daun dan karah tangkai dan julat hasil antara 2.6 – 5.8 t/ha di peringkat penilaian penentusahan setempat.
