Teknologi penyejukbekuan ulas nangka untuk pasaran eksport
Joanna Cho Lee Ying, Nur Azlin Razali, Wan Mohd Reza Ikhwan Wan Hussin, Suhana Safari, Roslina Ali, Siti Nurathirah Abdul Hassan, Khairunizah Hazila Khalid dan Koh Soo Peng
Ringkasan
Pengeksportan nangka segar dalam bentuk sebiji dan diproses secara minimum terhad untuk pasaran ke negara di mana tempoh pengedaran tidak melebihi dua minggu. Selain itu, saiz buah nangka yang sangat besar boleh mencecah sehingga 30 kg juga memainkan peranan yang penting dalam pengiraan kos logistik semasa penghantaran. Ulas nangka mengalami isu ‘karat’ dan ketidakseragam pemasakan buah yang tidak dapat dikesan dari luaran merupakan masalah utama yang perlu dihadapi untuk pengeksportan buah nangka segar ke pasaran antarabangsa. Teknologi penyejukbekuan nangka dalam bentuk ulas menggunakan kaedah kriogenik lebih sesuai untuk penghantaran jarak jauh tanpa menjejaskan kualiti buah selama enam bulan ke atas. Tempoh penyimpanan yang lama membolehkan produk ulas nangka sejuk beku dipasarkan di pasaran yang lebih jauh dan mengurangkan kehilangan lepas tuai serta masalah lambakan nangka. Dengan memanfaatkan kelebihan teknologi penyejukbekuan, pengeluar nangka boleh menerokai pasaran baharu untuk produk ulas nangka sejuk beku yang berkualiti tinggi, berkhasiat dan sedia dimakan sesuai untuk pasaran antarabangsa.
