Pemprosesan serbuk pracampuran dan pekatan sup campuran berasaskan tulang ikan barracuda

Category: Bil. 44

Nicholas Daniel, Chua Hun Pin, Khairunizah Hazila Khalid, Koh Soo Peng, Teresa Anie Meng, Zakaria Abdul Rahman, Hazanizam Ahmad Sedenan, Ashahida Amran dan Norman Isman

Ringkasan
Dalam era industri moden yang semakin menitikberatkan kelestarian alam sekitar, banyak sektor termasuk industri pemprosesan makanan laut telah beralih kepada pendekatan berasaskan konsep zero waste dan whole fish utilisation. Pendekatan ini menekankan penggunaan sepenuhnya bahan mentah khususnya ikan bagi mengurangkan pembaziran, memaksimumkan nilai tambah serta menyokong pembangunan ekonomi mampan dan mesra alam. Dengan mengoptimumkan setiap bahagian ikan, industri bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan pengeluaran, malah turut menghasilkan pelbagai produk sampingan yang bernilai tinggi. Kajian ini dijalankan bagi membangunkan produk makanan bernilai tinggi daripada tulang ikan barracuda yang merupakan hasil sampingan industri keropok tradisional. Proses prarawatan terhadap tulang ikan barracuda telah berjaya menghasilkan dua bahan utama, iaitu serbuk tulang ikan dan cecair stok tulang ikan, yang seterusnya digunakan dalam penghasilan produk serbuk pracampuran serta pekatan sup campuran tulang ikan barracuda. Penilaian sensori menunjukkan penerimaan yang baik bagi hidangan sup yang dihasilkan daripada serbuk pracampuran dan pekatan sup campuran tulang ikan barracuda. Serbuk pracampuran tulang ikan barracuda mengandungi tinggi nilai protein (13.8 g/100 g), kalsium (2,709 mg/100 g) dan fosforus (1,393 mg/100 g), manakala pekatan sup campuran tulang ikan barracuda turut menunjukkan kandungan protein yang tinggi (5.9 g/100 g), menjadikan kedua-dua produk sebagai sumber nutrisi yang baik. Kaedah pemprosesan dan penggunaan bahan pembungkus yang sesuai dapat menjamin kualiti dan memanjangkan jangka hayat produk. Kajian jangka hayat penyimpanan produk menunjukkan keduadua produk selamat untuk dimakan dengan skor penilaian sensori melebihi nilai 5.0 – 18 bulan penyimpanan pada suhu bilik.

Teks penuh (400KB)

Download Joomla Free Templates for your success.
Buletin Teknologi MARDI (BTM)
Program Penerbitan dan Pengurusan Ilmu, Pusat Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat MARDI,Persiaran MARDI - UPM,43400 Serdang, Selangor, Malaysia
Telefon: +603- 8953 7203 | Faks: +603- 8953 7232|
Copyright © 2025 e-Buletin Teknologi MARDI. All Rights Reserved.