Kestabilan kualiti minuman botani Honey Lemonade (HL) sepanjang tempoh penyimpanan
Norra Ismail, Norhartini Abdul Samad, Nur Baizura Sa’dom dan Sabeetha Sarmin
Ringkasan
Kajian ini dijalankan untuk menilai kestabilan kualiti minuman botani Honey Lemonade (HL) sepanjang 12 bulan penyimpanan pada suhu bilik. Analisis nilai pemakanan menunjukkan bahawa minuman botani HL bebas daripada sukrosa dan mengandungi fruktosa dan glukosa. Minuman ini juga mengandungi kandungan mineral walaupun dalam kuantiti sederhana, yang menjadikannya pilihan minuman kesihatan yang baik. Ciri-ciri fizikokimia, termasuk nilai °Brix, pH, dan kelikatan, menunjukkan tiada perubahan yang ketara (p <0.05) sepanjang tempoh penyimpanan. Perubahan yang paling ketara adalah pada warna, di mana minuman botani HL menjadi semakin gelap seiring dengan peningkatan tempoh penyimpanan. Analisis mikrobiologi pula menunjukkan bahawa minuman botani HL adalah selamat untuk diminum sepanjang tempoh penyimpanan pada suhu bilik, mematuhi piawaian antarabangsa. Dari segi penilaian sensori, selain perubahan warna yang semakin gelap, aroma halia yang tajam, rasa pedar (pahit dan pedas) dan rasa pahit semakin berkurang pada tempoh akhir penyimpanan. Secara keseluruhannya, minuman botani HL mempunyai potensi untuk dianggap sebagai minuman berfungsi yang bermanfaat untuk kesihatan.
