Teknik penghasilan biji benih berkualiti dan kaedah penyimpanan optimum bagi terung telunjuk
Suryanti Bustam, Nur Atisha Shamsuddin, Abdul Muhaimin Abdul Kadir, Hazri Hanapy dan Umikalsum Mohamed Bahari
Ringkasan
Kajian telah dijalankan bagi mengenal pasti teknik optimum penghasilan biji benih berkualiti bagi terung (terung telunjuk). Kajian pertama dijalankan untuk mengenal pasti peringkat optimum kematangan buah selepas hari anthesis (DAA) dengan teknik pengasingan biji benih yang tepat. Dua peringkat kematangan buah diuji iaitu 39 – 42 DAA dan 47 – 49 DAA. Biji benih diasingkan dari setiap peringkat kematangan buah menggunakan tiga teknik iaitu asing dan cuci terus selepas tuai asing dan cuci selepas dua hari direndam air asing dan cuci terus selepas disimpan selama lima hari selepas dituai. Kajian kedua melibatkan penyimpanan benih segar (10.5% kandungan lembapan) dan kering (8% kandungan lembapan) pada kedua-dua peringkat kematangan selama dua tahun pada tiga suhu penyimpanan iaitu 5 ± 1 °C, 25 ± 2 °C dan –20 °C. Biji benih berkualiti yang tahan terhadap penyimpanan sehingga dua tahun dapat dihasilkan apabila buah dipetik pada peringkat 47 – 49 DAA dan biji benih diasingkan dengan cara merendam buah yang telah dibelah dua di dalam air selama dua hari sebelum dibersihkan dan dikeringkan. Biji benih ini mampu mengekalkan kualitinya selepas dua tahun apabila disimpan kering (8% kandungan lembapan) pada suhu 5 ± 1 °C dan 25 ± 2 °C.
