Kaedah pemprosesan imej udara untuk menganggar kandungan klorofil pokok padi
Teoh Chin Chuang dan Mohd Khairil Izani Ishak
Ringkasan
Kajian ini bertujuan untuk membangunkan teknik pemprosesan imej udara yang berupaya menganggar kandungan klorofil tanaman padi. Pengumpulan data dijalankan di sawah padi FELCRA Seberang Perak melalui penggunaan klorofil meter SPAD dan imej udara yang diperoleh menggunakan UAV CropCam. Melalui analisis nilai digital merah (R), hijau (G) dan biru (B) daripada imej mosaik, persamaan bagi mengira bacaan klorofil meter SPAD dengan ketepatan yang tinggi telah dibangunkan. Hubungan antara bacaan SPAD dengan nilai digital R, G, B serta nisbah R/(R+G+B), G/(R+G+B) dan B/ (R+G+B) telah dikenal pasti, di mana nisbah R/(R+G+B) menunjukkan korelasi tertinggi berbanding parameter lain. Berdasarkan hasil ini, satu model regresi linear telah dibangunkan menggunakan pemboleh ubah R/(R+G+B) yang terbukti dapat menganggar bacaan SPAD secara berkesan dan menghasilkan imej bacaan SPAD. Seterusnya, imej ini dikelaskan kepada tiga kluster iaitu rendah, sederhana dan tinggi melalui pengelasan ISODATA untuk menjana peta bacaan SPAD. Peta ini dapat menganggar tahap status kandungan klorofil dan kesuburan pokok padi serta keperluan baja nitrogen bagi kawasan tertentu dalam sawah. Secara keseluruhannya, pendekatan ini merupakan satu kaedah yang praktikal, kos efektif dan efisien untuk pengurusan baja secara lebih tepat dalam sistem pertanian berskala besar.
